Angkasa syor koperasi urus kantin sekolah

Angkasa syor koperasi urus kantin sekolah

la adalah satu usaha yang bagus dan secara tidak langsung menjadi sumber pembiayaan kepada program-program di sekolah sekali gus mengurangkan kebergantungan dana yang disediakan oleh kerajaan

angkasa
KUALA TERENGGANU:
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mencadangkan supaya kantin diletakkan terus di bawah seliaan koperasi sekolah bagi meningkatkan sumber pembiayaan program-program sekolah.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi boleh mengadakan usaha sama dengan kantin sekolah supaya tidak bertembung kepentingan mereka.

“Koperasi boleh buat usaha sama dengan kantin sekolah supaya tidak bertembung kepentingan mereka… sekarang ini pun ada sudah kantin yang diuruskan oleh koperasi iaitu di Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu,” kata beliau.

Dipetik Bernama jelas beliau, ia adalah satu usaha yang bagus dan secara tidak langsung menjadi sumber pembiayaan kepada program-program di sekolah sekali gus mengurangkan kebergantungan dana yang disediakan oleh kerajaan.

Terdahulu beliau merasmikan Program Sesi Dialog Mengenai Pembangunan Perniagaan Koperasi Sekolah Negeri Melaka 2017 di sini, hari ini.

Katanya, Angkasa menyasarkan peningkatan perolehan daripada koperasi sekolah kepada RM500 juta pada tahun ini berbanding RM338.9 juta pada 2015.

Fattah memberitahu, untuk merealisasikan sasaran tersebut, koperasi perlu mempelbagaikan aktiviti perniagaan di sekolah untuk mengumpul pendapatan.

“Koperasi sebagai sumber pulangan ekonomi sekolah… antara aktiviti yang dicadangkan ialah aktiviti peruncitan… cuba bayangkan jika sekolah berkenaan mempunyai ahli yang ramai, ia adalah langkah yang baik disamping memasarkan barangan kepada ahli dan mereka akan mendapat manfaat harga yang murah koperasi sebagai peruncit akan membeli harga tersebut dengan harga pukal.

“Pada masa ini, kita sudah ada sebanyak 2,349 koperasi sekolah yang ada di Malaysia setakat ini dan angka ini bertambah dengan wujudnya sekolah-sekolah baharu kerana setiap sekolah akan ada koperasinya sendiri,” kata Fattah.

Kata beliau, jika kedai runcit ini dapat dijalankan sepenuhnya, ia akan memberi perkhidmatan kepada hampir dua juta anggota koperasi sekolah mewakili 10 peratus penduduk Malaysia pada masa kini.

“Sekarang ini telah ada sekolah yang berjaya dan menjadi pembekal kepada agensi kerajaan sebagai contoh sekolah di Johor dan ada juga koperasi pertanian yang membekalkan barang-barang basah seperti sayur dan ikan.

“Menjelang tahun 2020, Angkasa turut menyasarkan sebanyak 50 buah sekolah mendapat perolehan melebihi RM1 juta… kini lebih pada 300 buah sekolah mendapat perolehan melebihi RM500,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.