SPRM tahan bekas yang dipertua majlis perbandaran, 3 kontraktor

SPRM tahan bekas yang dipertua majlis perbandaran, 3 kontraktor

Menurut sumber, kontraktor terbabit juga dipercayai menaja pakej percutian suspek, termasuk bermain golf di Indonesia dan membeli sebuah Toyota Camry untuk 'Datuk' itu.

sprm-macc-arrest-negeri-sembilan
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas yang dipertua (YDP) majlis perbandaran sebuah daerah di Negeri Sembilan bergelar “Datuk” kerana disyaki terlibat rasuah dan salah guna kuasa.

Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan SPRM ialah 3 kontraktor yang disyaki dianugerahkan beberapa projek melibatkan pejabat daerah dan majlis perbandaran di mana suspek pernah bertugas.

Menurut sumber, suspek berusia 63 tahun yang sudah bersara itu ditahan di kediamannya di Seremban kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

“Suspek dipercayai melakukan kesalahan berkenaan ketika memegang jawatan pegawai daerah dan YDP perbandaran sejak September 2009 hingga Ogos tahun lepas.

“Berdasarkan siasatan SPRM dan pengumpulan maklumat awal, suspek dipercayai pernah bercuti bersama kontraktor tersebut di luar negara pada September 2015,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut sumber, maklumat yang diperoleh menunjukkan pakej percutian suspek yang juga termasuk bermain golf di Medan, Indonesia ditaja kontraktor berkenaan.

“Sebuah kenderaan Toyota Camry dibelikan kontraktor-kontraktor tersebut untuk kegunaannya,” katanya.

Menurut bukti yang diperoleh, pembelian tersebut tidak dibentangkan dalam mesyuarat bajet dan perolehan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan itu dan pihaknya sedang mengenal pasti beberapa orang lagi untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini, SPRM sudah merampas dokumen daripada semua suspek yang dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengenal pasti beberapa penjawat awam yang masih berdegil bermain golf di luar negara dengan tajaan orang berkepentingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.