
“Apabila kita memasuki mana-mana premis atau pun merampas dengan menggunakan kekerasan daripada seorang lain tanpa kebenarannya, itu dianggap perbuatan yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘samun’,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
“Jamal dan ahlinya telah masuk ke sebuah kedai dan semasa mereka masuk dengan alasan menjalankan kegiatan dipercayai berlandaskan kepada aduan yang dibuat kepada polis, terdapat kehilangan beberapa barangan berharga daripada premis tersebut.”
Jamal bersama beberapa yang lain menyerbu beberapa premis yang didakwa menjalankan kegiatan judi haram di Ampang, Selangor pada Disember tahun lepas.
Beliau turut membawa keratan gambar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Ean Yong Hian Wah untuk menyerbu premis tersebut.
Semalam, Jamal dan 9 pengikutnya ditahan berhubung serbuan itu selepas 1 laporan polis dibuat terhadapnya. Menurut peguam, Jamal disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan ditahan reman 5 hari mulai semalam.
Sementara itu, Noor Rashid berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pusat permainan video terbabit sekiranya mereka melanggar Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Kita akan lihat kalau dia jalankan kegianatan perjudian kita akan ambil tindakan. Kalau tak langgar undang-undang kita tak boleh ambil tindakan,” katanya.