
Diketuai Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos, laporan itu menuntut tindakan tegas diambil terhadap Wong kerana didakwa ingkar terhadap titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan terus mempertahankan cadangan tersebut.
Mereka turut membuat laporan berhubung hantaran media sosial yang tidak bertanggungjawab memaparkan imej babi berpakaian diraja, yang dipercayai ditujukan kepada Sultan Selangor.
Jamal mendakwa Wong melakukan penderhakaan terhadap Sultan Selangor kerana tetap mempertahankan cadangannya walaupun baginda sebelum ini menggesa supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.
“Kami bukan sahaja minta polis ambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyunting imej Sultan Selangor, tetapi juga terhadap Wong yang menyebabkan perkara ini menjadi semakin berlarutan,” katanya pada sidang media di luar IPD Ampang Jaya.
Ketua Pemuda Umno Sungai Besar Imran Tambin berkata beliau membuat laporan terhadap satu halaman Facebook yang didakwa memuat naik imej menghina Sultan Selangor itu.
Mereka menggesa siasatan dijalankan di bawah kesalahan hasutan dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Minggu lalu, Wong mempertahankan cadangannya mengenai penternakan babi itu dengan berkata ia dibuat berdasarkan maklum balas penduduk di kawasannya.
Beberapa pihak mengkritik Wong, termasuk Jamal yang pada awal minggu ini menyelar beliau supaya ‘keluar dari Selangor’ jika enggan akur kepada titah Sultan berkait penternakan babi.
Wong kemudian menjelaskan kenyataannya berdasarkan suara sebahagian rakyat di kawasannya, dan beliau bertanggungjawab membawanya ke sidang DUN.