Nasib Annuar dalam Umno ditentukan presiden, kata Ku Nan

Nasib Annuar dalam Umno ditentukan presiden, kata Ku Nan

Ia tidak melibatkan jawatan Annuar Musa dalam parti dan penggantungan dalam Mara hanya prosedur siasatan, kata setiausaha agong Umno.

ku-nan-annuar-musa
KUALA LUMPUR: Kedudukan Tan Sri Annuar Musa selaku ketua penerangan Umno selepas penggantungannya sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) terserah kepada keputusan presiden parti.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang lebih dikenali dengan nama Ku Nan berkata jawatan Annuar itu adalah lantikan Presiden Datuk Seri Najib Razak.

“Jawatan beliau dalam Umno dilantik presiden dan penggantungan Annuar adalah dalam agensi kerajaan.

“Tidak berbangkit jawatannya dalam Umno, tetapi ia terpulang kepada pandangan presiden,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mara hari ini menggantung tugas ahli Parlimen Ketereh sebagai pengerusi agensi itu dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ahli Majlis Mara Datuk Dr Yusof Yacob di ibu pejabat agensi itu di sini.

Ia membolehkan audit dalaman Mara menyiasat beberapa perkara mengenai agensi tersebut termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Tengku Adnan berkata penggantungan itu juga sebagai prosedur siasatan dan belum terbukti Annuar melakukan kesalahan.

“Sebagai ketua penerangan Umno, beliau bekerja dengan kuat dan melaksanakan tugas dengan baik, tidak ada masalah,” katanya.

 

Mara gantung Annuar Musa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.