Menang selesa isyarat BN perlu terus ‘berkawan’ dengan GRS, kata Naim

Menang selesa isyarat BN perlu terus ‘berkawan’ dengan GRS, kata Naim

Ahli Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata kerjasama BN-GRS pada PRU16 mampu menawan 21 kerusi Parlimen.

Naim Kurniawan
Ahli Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar mengakui kemenangan ke atas Warisan dengan majoriti 14,214 undi turut disumbangkan rakan dalam kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kemenangan besar pada PRK Parlimen Kinabatangan dan Lamag minggu lalu menunjukkan Barisan Nasional (BN) wajar meneruskan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi politik.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, mengakui kemenangannya ke atas Warisan dengan majoriti 14,214 undi turut disumbangkan rakan dalam kerajaan seperti GRS dan Pakatan Harapan (PH) yang turun membantu kempen.

Katanya, jika kerjasama itu diteruskan pada PRU16, gabungan perpaduan di Sabah ditunjangi GRS mampu menang sekurang-kurangnya 21 daripada 25 Parlimen.

“Jika gabungan perpaduan di Sabah diteruskan sehingga PRU16, tidak mustahil kita mampu tawan 21 kerusi Parlimen. Jika semua parti ‘berkawan’, sudah pasti setiap calon mendapat kelebihan.

“Macam contoh di (PRK) Kinabatangan baru-baru ini, GRS beri sokongan penuh dan majoriti kita (BN) pun meningkat mendadak,” kata bendahari Pemuda Umno itu kepada FMT.

PRK Sabtu lalu menyaksikan Naim mendapat 19,852 undi menewaskan dua pencabarnya Saddi Abdul Rahman daripada Warisan yang memperoleh 5,638 undi manakala calon bebas Goldam Hamid mendapat 946 undi. Pada PRU15, Parlimen Kinabatangan dimenangi Bung Moktar Radin dengan majoriti 4,330 undi.

BN turut mempertahankan DUN Lamag menerusi calonnya Ismail Ayob dengan majoriti 5,681 undi, lebih tinggi berbanding 153 undi semasa PRN Sabah, November lalu.

Ketika itu beliau bertanding atas tiket bebas dan kalah kepada penyandang Bung Moktar Radin yang juga bapa Naim. Dua PRK itu diadakan susulan kematian Bung pada 5 Dis lalu.

Baru-baru ini, Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak memuji keputusan GRS tidak bertanding PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, menyifatkan langkah itu faktor utama membolehkan BN meraih kemenangan selesa.

Pada PRN Sabah tahun lalu, BN berseteru dengan GRS yang bagaimanapun bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya. Ia turut disokong antaranya Upko, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan lima wakil rakyat bebas.

BN mencatat antara prestasi terburuk di Sabah apabila hanya menang enam DUN pada PRN itu dan pemerhati politik meramalkan tujuh kerusi Parlimen disandangnya kini berisiko jika ia tidak menjalinkan kerjasama.

Hubungan BN diketuai Umno dan GRS terjejas susulan Langkah Kinabalu pada 2023 yang menyaksikan usaha menjatuhkan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor gagal.

Mengulas lanjut, Naim berkata walaupun ada mengaitkan kemenangannya dengan unsur simpati dan bapanya, faktor calon serta jentera parti juga memainkan peranan.

“Kalau simpati tanpa orang (calon) betul tidak jalan (menang) juga.

“Kalau ada orang betul tetapi jentera tak kerja kuat pun masalah juga,” kata ketua Pemuda Umno Kinabatangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.