Ketuanan ‘Rumah Besar Melayu’, lebih kuasa daripada adab

Ketuanan ‘Rumah Besar Melayu’, lebih kuasa daripada adab

Negara bangsa tidak dibina melalui slogan etnik atau nostalgia politik tetapi melalui dasar adil dan institusi yang berfungsi.

PAU2025 PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

Keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang memperkenalkan idea serta konsep ‘Rumah Bangsa’ sebagai usaha terancang mengembalikan asas muafakat Melayu yang dilihat semakin terhakis disambut baik sebahagian orang Melayu terutama penyokong parti itu.

Kebangkitan semula wacana Ketuanan Melayu melalui gagasan ‘Rumah Bangsa’ dalam PAU 2025 menandakan satu kecenderungan politik yang tidak pernah benar-benar hilang. Ia dipromosikan sebagai usaha memperkukuh orang Melayu yang dikatakan semakin tertekan dalam landskap politik dan ekonomi semasa.

Namun, persoalan perlu dijawab ialah sama ada pendekatan ini benar-benar menyumbang kepada masa depan negara, atau sekadar mengulangi politik identiti yang semakin terpisah daripada realiti sebuah masyarakat majmuk.

Tidak dapat dinafikan kedudukan Melayu mempunyai asas sejarah dan perlembagaan. Tetapi isu sebenar bukan pada hak itu sendiri, sebaliknya pada cara ia ditafsir dan disampaikan.

Apabila pengukuhan Melayu dibingkaikan melalui bahasa yang eksklusif, ia mudah mencetuskan persepsi bahawa perpaduan nasional adalah agenda sampingan. Dalam konteks ini, ‘Rumah Bangsa’ berisiko dilihat bukan sebagai ruang kebersamaan, tetapi sebagai simbol pemisahan antara ‘yang memiliki’ dan ‘yang lain’.

Jika Ketuanan Melayu ingin kekal relevan, ia perlu difahami sebagai amanah kepimpinan, bukan keistimewaan tanpa tanggungjawab. Di sinilah Model Madinah diasaskan oleh Rasulullah SAW menawarkan rujukan penting yang jarang diterjemahkan secara serius dalam wacana politik semasa.

Melalui Piagam Madinah, sebuah masyarakat majmuk terdiri daripada Muslim dan bukan Muslim disatukan bawah satu kontrak sosial yang menjamin keadilan, keselamatan dan kebebasan beragama. Kepimpinan teras wujud, tetapi tidak bersifat menindas.

Model Madinah menolak logik dominasi. Rasulullah SAW diiktiraf sebagai pemimpin bukan kerana menafikan hak kelompok lain, tetapi kerana memelihara kepentingan semua pihak. Konsep ummah wahidah (kesatuan warga) yang diperkenalkan bukan bermaksud penyeragaman identiti, sebaliknya kesetiaan kepada perjanjian bersama. Ini membawa mesej jelas bahawa kepimpinan majoriti hanya sah apabila ia berfungsi melindungi minoriti.

Dalam konteks Malaysia, orang Melayu sebagai majoriti dan teras sejarah negara memikul tanggungjawab moral untuk memimpin secara inklusif. Namun, sehingga kini naratif ‘Rumah Bangsa’ masih kabur tentang bagaimana ia menyumbang kepada kesepaduan nasional.

Negara bangsa tidak dibina melalui slogan etnik atau nostalgia politik, tetapi melalui dasar yang adil dan institusi yang berfungsi.

Dalam suasana kos sara hidup meningkat, jurang pendidikan melebar dan rasuah terus membelenggu, keghairahan terhadap wacana identiti menimbulkan persoalan tentang keutamaan sebenar politik arus perdana.

Apabila sentimen Ketuanan Melayu dimainkan tanpa kerangka beradab, ia bukan sahaja melemahkan dialog antara kaum, malah mengalihkan perhatian daripada kegagalan struktur yang menjejaskan semua rakyat, termasuk orang Melayu sendiri.

Lebih membimbangkan, Ketuanan Melayu yang dilaungkan tanpa prinsip keadilan berisiko menghakis legitimasi moral kepimpinan Melayu. Hak yang dituntut tanpa tanggungjawab akhirnya menjadi beban politik. Sejarah masyarakat majmuk menunjukkan bahawa kestabilan tidak lahir daripada rasa curiga, tetapi daripada kepercayaan dibina melalui keadilan yang konsisten.

Ketuanan Melayu yang beradab bukan tanda kelemahan, tetapi bukti keyakinan. Ia mengangkat Melayu sebagai pemimpin yang memikul amanah untuk semua, dan meletakkan masa depan negara, bukan emosi politik semata, sebagai matlamat utama. Dalam dunia yang semakin mencabar, hanya kepimpinan yang inklusif dan berprinsip mampu memastikan Malaysia terus berdiri sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu.

Akhirnya, Ketuanan Melayu berdepan dua pilihan: terus dijadikan alat politik jangka pendek, atau ditransformasikan menjadi konsep kepimpinan beradab yang selari dengan perlembagaan dan realiti masyarakat majmuk. Pilihan itu akan menentukan sama ada wacana ini menjadi jambatan kepada perpaduan, atau satu lagi episod politik identiti yang menjauhkan Malaysia daripada cita-cita negara bangsa.

 

Penulis ialah ahli jawatankuasa pusat (ketua kluster perpaduan nasional) Pertubuhan Ikram Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.