Pusat jagaan harian golongan menengah mampu bertahan

Pusat jagaan harian golongan menengah mampu bertahan

CEO Bright Kids meramalkan hasil yang stabil untuk pusat jagaan harian keluarga berpendapatan menengah

daycare-centre-2
KUALA LUMPUR:
Pusat jagaan harian untuk keluarga berpendapatan menengah (M40) akan terus bertahan walaupun dengan kos yang meningkat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Jagaan dan Tuisyen Bright Kids, David Tan.

Kumpulan M40 ditakrifkan sebagai golongan 40% penduduk yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,860 hingga RM8,319.

Semalam, Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) berkata pusat jagaan harian swasta perlu menaikkan yuran sebanyak 20% hingga 50% tahun ini untuk bertahan.

Presidennya, Wong Poai Hong menjelaskan kos operasi meningkat sebanyak 50% hingga 60% apabila dasar gaji minimum RM1,000 berkuat kuasa Julai lepas.

Walaupun dengan kenaikan kos itu, David percaya pusat jagaan untuk kanak-kanak daripada golongan M40 mampu bertahan kerana pasaran yang stabil.

“Kita ada pasaran tersendiri. Selagi kita tak sasarkan keluarga berpendapatan rendah, tiada masalah.

“Keluarga berpendapatan rendah yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Mereka akan menarik diri apabila tidak lagi mampu membayar yuran.”

“Manakala, kenaikan kos sara hidup akan menyebabkan keluarga yang berpendapatan tinggi untuk memilih pusat jagaan untuk golongan berpendapatan menengah,” kata David dalam temubual FMT.

Beliau menjelaskan kualiti pendidikan menjadi keutamaan keluarga berpendapatan menengah dan tinggi.

“Ibu bapa tidak akan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan harian untuk golongan berpendapatan rendah kerana pendidik mungkin tidak berpengalaman atau kemudahan tidak memuaskan.”

David meramalkan pusat jagaan harian untuk keluarga berpendapatan rendah akan mengalami banyak masalah tahun ini.

“Kanak-kanak tidak lagi akan dihantar apabila ibu bapa tak lagi mampu membayar yuran.

“Pusat jagaan harian ini pasti akan menyaksikan penurunan hasil. Kita boleh nampak banyak pusat ditutup.”

David menggesa ibu bapa supaya menyenaraikan “keutamaan” dan “cermat berbelanja”. Nasihatnya kepada ibu bapa – terutamanya pasangan muda – supaya jangan berbelanja secara berlebihan dan ikut belanjawan setiap bulan.

“Saya percaya dengan perbelanjaan yang cermat, keluarga boleh hidup atas pendapatan isi rumah yang sederhana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.