
Setiausaha Agung PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh berkata Anina kekal sebagai ahli MPT yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan wanita sehingga sayap parti ditubuhkan secara rasmi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Shahruddin berkata MPT akan menubuhkan sayap wanita dalam masa terdekat selepas segala proses dan prosedur dalaman parti dipatuhi.
“Srikandi adalah sayap parti yang penting dan oleh itu pemilihan ketuanya hendaklah dibuat secara teliti setelah pandangan semua pihak diperoleh,” katanya dalam kenyataan itu merujuk Srikandi sebagai sayap wanita PPBM.
Semalam, Anina berkata dirinya dipecat daripada jawatan ketua wanita PPBM namun dakwaan itu dipertikaikan ketua penerangan, Datuk Kamarudin Md Nor.
Anina berkata, beliau sudah tanya Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan yang mengesahkan keputusan menyingkirkan beliau daripada jawatan itu.
“Mereka kata saya tidak disyorkan Majlis Presiden untuk dilantik sebagai ketua Srikandi,” katanya merujuk nama sayap itu.
Katanya, beliau mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 November lalu dan secara rasmi menjadikan beliau ketua Srikandi.
Kamarudin ketika dihubungi berkata, Anina tidak pernah dilantik dan angkat sumpah beliau merupakan “kesilapan teknikal”.
Shahruddin berkata menurut Perkara 21 Perlembagaan PPBM, penubuhan sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidang kuasa MPT.
“Oleh itu, kedudukan Anina yang dirujuk pelbagai pihak sebagai ketua Srikandi PPBM tidak seharusnya timbul.
“Diharapkan ahli PPBM terutamanya Srikandi dapat bertenang, merapatkan barisan dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan parti demi perjuangan menyelamatkan Malaysia,” katanya.