Nasib pemandu bas, sering dianaktirikan, kata persatuan

Nasib pemandu bas, sering dianaktirikan, kata persatuan

Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia berkata jangan hanya menyalahkan pemandu setiap kali kemalangan berlaku.

ppbsm
KUALA LUMPUR:
Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) berharap semua pihak dapat membuka mata tentang kesusahan yang dilalui pemandu bas, yang “dianaktirikan” pihak berkuasa dan syarikat.

Presiden PPBSM Sa’adan Man mendakwa pihaknya sudah banyak kali membangkitkan soal kebajikan pemandu kepada pihak berkuasa tetapi sehingga kini tiada apa-apa perubahan berlaku.

“Setiap kali berlaku kemalangan, pemandu antara yang disalahkan. Pada masa sama, kami tidak dipedulikan kerajaan dan terpaksa akur dengan arahan syarikat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas nahas bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur di Lebuhraya Utara Selatan dekat Pagoh pada awal pagi semalam, yang meragut 14 nyawa, termasuk pemandunya, Zakeer Zubir.

Menurut laporan Sinar Harian semalam, Zakeer yang sebelum itu memandu bas dari Pulau Pinang ke Johor hanya berehat 3 jam sebelum memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur pada jam 2 pagi.

Ia bukanlah isu baru, apabila Utusan pada 30 April 2014 pernah melaporkan kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan berhubung segelintir pemandu yang mengambil dadah supaya kekal bertenaga untuk mengejar jumlah perjalanan.

“Kebanyakannya gaji pokok pun tiada, apatah lagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans. Adakah pihak berkuasa mengambil berat isu ini?

“Ada ketika pula syarikat memaksa pemandu meneruskan perjalanan, walaupun kita berkata bas bermasalah. Pemandu terpaksa akur kerana selain mengejar trip, mereka takut digantung kerja,” kata Sa’adan.

Beliau mengakui masalah ini sudah berlarutan sekian lama, dan antara puncanya ialah kerajaan tidak mengambil berat terhadapnya.

“Isu kebajikan pemandu ini bukan tidak pernah dibangkitkan dalam pertemuan dengan pihak berkenaan tetapi berlalu begitu saja. Faham-fahamlah, pemilik syarikat bas ini kebanyakannya ‘orang besar’.

“Sepanjang lebih 40 tahun pengalaman, saya tidak pernah nampak pemandu bas dapat apa-apa insentif seperti petani dan nelayan. Kami hanya dapat saman,” katanya.

Katanya, beliau berkata tidak berniat menyebelahi mana-mana pihak, tetapi menegaskan peranan semua pihak bagi membendung tragedi sama daripada berulang.

Susulan kemalangan maut di Pagoh itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung serta merta lesen pengendali bas tersebut iaitu Goldstar Express (M) Sdn Bhd bagi menjalankan siasatan.

Sa’adan bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan itu dan menyifatkannya sebagai reaksi spontan SPAD yang tidak akan menyelesaikan masalah.

“Bagaimana pemandu ingin dapatkan perjalanan, dan syarikat membayar gaji mereka? Itu hanya reaksi spontan untuk tunjuk kononnya kerajaan ambil berat. Sebaliknya kaji betul-betul puncanya dan cari penyelesaian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.