Umno Kelantan sasar tawan 3 Parlimen ‘kelabu’, kata Mustapa

Umno Kelantan sasar tawan 3 Parlimen ‘kelabu’, kata Mustapa

Mustapa berkata, Umno Kelantan juga akan berusaha menambah jumlah undi di 5 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU13.

Mustapa-Mohamed_umno_kelantan_600
JELI:
Umno Kelantan akan memberi tumpuan kepada 3 Parlimen “kelabu” sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pengerusi badan perhubungan negeri itu.

Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, Umno tewas kurang daripada 1,000 undi di Parlimen Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

“Saya dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan) serta ketua Umno bahagian akan mengadakan program jelajah kecil ke setiap peti undi di ketiga-tiga Parlimen itu.

“Dalam jelajah itu, kami akan melihat perancangan dan persiapan yang dilakukan ahli jawatankuasa peti undi di ketiga-tiga Parlimen tersebut,” katanya selepas mengadakan lawatan di Parlimen Jeli hari ini.

Menurutnya, program jelajah kecil itu merupakan sebahagian daripada Program Gelombang Merah yang dilancarkan Umno Kelantan bagi menawan kembali negeri ini daripada PAS pada PRU14 nanti.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata, pihaknya juga akan mempertahankan 5 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13.

Beliau berkata, 5 kerusi itu ialah Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Ketereh.

“Selain itu, BN akan berusaha untuk meningkatkan jumlah undi di kelima-lima Parlimen terbabit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.