Peniaga Islam hiasi kedai runcit 100 tahun sempena Krismas

Peniaga Islam hiasi kedai runcit 100 tahun sempena Krismas

Sejak beberapa tahun lalu, kedai runcit itu mula mendapat perhatian media selepas Mohd Jaya memadankan hiasan luaran dan dalaman kedainya.

Christmasshop
KUCHING:
Sebuah kedai runcit berusia 100 tahun yang dihias dengan perhiasan Krismas berwarna-warni mula dibanjiri pelanggan sejurus selepas solat Zohor.

Mereka yang bertudung dan berkopiah memasuki kedai itu untuk memilih kuih-muih tradisional seperti kuih lapis, kek cincin dan tebaloi yang merupakan kek unik Sarawak.

Pada sebelah petang pula, giliran wanita bekerja dan suri rumah mengunjungi kedai itu, kadangkala kelihatan juga seorang dua pelancong.

Keadaan ini bukan fenomena baharu buat penduduk tempatan.

Kedai Runcit Abdul Wahet yang terletak di pintu masuk masjid tertua di Kuching, juga dikenali sebagai Masjid Lama, sudah beroperasi sejak 100 tahun lalu.

Christmas03

Mohd Jaya Idris, 40, yang menguruskan kedai itu sejak 6 tahun lalu berkata, perniagaan paling baik pada musim perayaan.

“Saya suka letak perhiasan. Ia menjadikan tempat ini kelihatan lebih menarik,” katanya sambil menambah rumah kedai itu bersambung dengan sederet kedai runcit dan restoran lain.

Mohd Jaya mengambil alih kedai runcit itu daripada bapa saudaranya, Fazlan Abdul Wahid yang menguruskan perniagaan keluarga selama 40 tahun sebelum bersara.

Sejak beberapa tahun lalu, kedai runcit itu mula mendapat perhatian media selepas Mohd Jaya memadankan hiasan luaran dan dalaman premisnya.

“Awal tahun ini, Sin Chew (Daily) datang membuat liputan kedai ini.

“Saya cuba memperbaiki hiasan saya setiap tahun, walaupun GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) menjadikan sesetengah barang lebih mahal,” katanya yang turut memesan kek berwarna merah sepadan tema perayaan Krismas.

Christmas-12

Produk paling laris untuk sambutan Krismas tahun ini ialah kek lapis berwarna kuning, hijau dan merah.

Kuih kuyak yang diperbuat daripada kacang hijau dan kuih jala diperbuat daripada gula merah goreng turut menjadi kegemaran ramai.

Kuih cincin yang diperbuat daripada gula Melaka dan kuih sepit yang dikenali sebagai “kek surat cinta” juga laris.

Perniagaannya semakin baik dan ahli keluarga bercadang membuka kedai ke-2 di Kuching.

Mohd Jaya yang mempunyai saudara terdiri daripada orang Cina, Bidayuh, Iban dan India berkata, beliau turut menyertai amalan pemberian hadiah hari ini.

“Kami mempunyai semangat terbuka di sini. Apa yang penting ialah kami meraikan perbezaan kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.