
“Masa kami dapat berita sedih ini, kami sedang memasak untuk persiapan majlis (majlis kesyukuran dan cukur jambul) hari ini.
“Selepas mendapat tahu kira-kira pukul 7.15 malam itu, kami ingat hendak batalkan majlis, namun ayah suruh teruskan,” kata Noor Suryati Wahab ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, abangnya Mohd Hisham, 34, bekerja di bahagian kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Noor Suryati, 29, berkata majlis kesyukuran dan cukur jambul untuk anak bongsunya itu dirancang sejak sebulan lalu.
Ibu mangsa, Siti Zainab Musa, 51, berkata pada awalnya dia dimaklumkan anak lelaki tunggalnya hanya cedera.
“Masa tengok TV, saya rasa berdebar bila lihat senarai nama Hisham paling atas, namun tiada butiran lanjut untuk mengesahkan beliau terlibat.
“Selepas Maghrib, kami menerima panggilan telefon daripada pihak polis Johor meminta kami tuntut jenazahnya dan kira-kira pukul 9 malam, suami saya bergerak ke sana,” katanya penuh sebak.
Siti Zainab berkata, sejak 2 hari lalu, hatinya tidak tenteram rupanya ia petanda mereka sekeluarga akan menerima berita duka yang anaknya akan meninggalkan mereka buat selamanya.
Katanya, Mohd Hisham jarang pulang ke kampung dan kali terakhir mereka berjumpa ialah bulan puasa lalu semasa anaknya bercuti sebulan di kampung.
Jenazah Mohd Hisham dijangka dikebumikan selepas solat Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rawai, di sini.
Seramai 14 orang maut, manakala 16 lagi cedera dalam kemalangan bas ekspres di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, kira-kira jam 3.25 pagi semalam.