
Abang mangsa, Wong Kok Huen, 40, berkata adiknya yang berusia 32 tahun bekerja sebagai tukang masak di Singapura biasanya menaiki bas dari republik itu pada jam 9 malam.
“Namun, beliau terpaksa mengambil bas di Larkin kerana tiket bas sudah habis kerana musim perayaan,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Pakar Sultanan Fatimah hari ini.
Kok Huen berkata, dia menghubungi adiknya malam kelmarin (Jumaat) untuk menjemputnya di stesen bas Seremban, namun diberitahu akan menaiki teksi sebelum akhirnya memutuskan ke Johor Bahru untuk menaiki bas.
Beliau hanya mendapat berita kematian adiknya apabila menerima panggilan dari hospital pada jam 3 petang semalam.
Difahamkan, identiti Kok Chan adalah antara yang terakhir dikenal pasti daripada 14 mangsa korban dalam nahas di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.
Rakan mangsa, Lee Kim Tong berkata, sebelum mendapat panggilan dari hospital, keluarga dan rakan mencari maklumat mengenai kemalangan itu menerusi Internet, namun gagal.
“Mulanya kami lega apabila mendapat berita tiada mangsa berbangsa Cina. Bagaimanapun, kerana tidak sedap hati apabila gagal menghubungi mangsa, saya dan ahli keluarga meninggalkan nama dan nombor telefon kepada pihak berkuasa,” katanya.
Lee berkata, Kok Chan meninggalkan seorang balu dan 2 anak, masing-masing seorang anak perempuan dan lelaki, berumur 3 tahun serta setahun.
“Isteri mangsa dan anaknya kini bercuti di Hui-pei, China dan akan pulang ke tanah air petang ini setelah dimaklumkan kematiannya.”
Menurutnya, Kok Chan pendiam dan lebih gemar bersosial menerusi alam maya.
“Beliau juga seorang lelaki yang baik dan suka membantu kawan,” katanya.
Beliau berkata, mayat Kok Chan akan ditempatkan di Tokong Heam Lam Toh Tag, Jalan Tun Dr Ismail, Seremban, hari ini, bagi membolehkan keluarga dan rakan memberi penghormatan terakhir.