Penyokong Selangor pohon bantuan Sultan Sharafuddin selesai kemelut FAS

Penyokong Selangor pohon bantuan Sultan Sharafuddin selesai kemelut FAS

Memorandum 2 muka surat itu antara lain memohon perkenan Sultan Selangor menitahkan Azmin melakukan rombakan segera ke atas pengurusan persatuan tersebut.

MOHD_FAIZAL_WAHID
SHAH ALAM:
Penyokong skuad Red Giants hari ini menghantar memorandum memohon perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kemelut melanda pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Memorandum 2 muka surat itu diserahkan Presiden Gabungan Kelab Penyokong Selangor, Mohd Faizal Wahid kepada pihak istana di Istana Bukit Kayangan yang diterima pengawal istana, Laskar Kanan Khairul Redzuan Saamaton, kira-kira 11 pagi tadi.

Mohd Faizal berkata, antara kandungan memorandum itu adalah bagi memohon perkenan Sultan Selangor untuk menitah Presiden FAS yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melakukan rombakan segera ke atas pengurusan persatuan tersebut.

Ini kerana katanya, hanya dengan titah sultan mampu mengelakkan rombakan pengurusan FAS dicemari unsur politik pihak tertentu yang hanya menyebabkan ia terus dibelenggu kemelut berpanjangan.

Penyokong Red Giants, Muhd Ali Zakaria berkata, sejarah kegemilangan 33 kali menjadi juara Piala Malaysia tidak sepatutnya dibiarkan lapuk akibat kemelut itu, sedangkan rakyat negeri mahu terus melihat kecemerlangan pasukan tersebut.

“Kami (penyokong Red Giants) dari Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Tanjung Karang, sanggup korbankan masa, tenaga dan duit untuk datang ke stadium menyokong, tapi kami amat kecewa kerana kerajaan negeri masih tak ambil tindakan selesaikan kemelut pengurusan FAS.

“Ramai anak jati Selangor mentadbir syarikat korporat ternama, kalau FAS ada masalah kewangan, kenapa tidak minta penajaan daripada mereka? Jangan asyik kata FAS tiada duit menyebabkan Red Giants terpaksa tarik diri,” katanya hari ini.

Menurut Muhd Ali, sekiranya Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menerajui FAS, seluruh penyokong Red Giants amat berbesar hati menerimanya demi kegemilangan pasukan itu pada masa depan.

Semalam, Tengku Amir Shah menerusi akaun laman sosialnya menyarankan rombakan drastik dilakukan FAS berikutan perkembangan terkini dilihat begitu membimbangkan.

Beliau turut menggesa FAS mengorak strategi bukan sahaja untuk pasukan utama, tetapi juga menekankan pembangunan bola sepak dengan lebih menyeluruh mencakupi peringkat akar umbi.

Tengku Amir Shah berkata, strategi FAS juga perlu merangkumi langkah meningkatkan mutu infrastruktur di serata negeri dan melaksanakan aspek pemasaran sukan komprehensif bagi memperoleh pendapatan mapan.

FAS sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah dana yang menyukarkan pasukan itu menghadapi Liga Super akan datang, berikutan Azmin dikatakan belum mengumumkan sebarang peruntukan kepada Red Giants.

PAUTAN:

Demi Red Giants, Raja Muda Selangor desak tukar exco FAS

Apa jadi RM23 juta, aktivis tuntut penjelasan FAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.