
Dalam hantaran di Facebook, bekas pemimpin DAP itu berkata pengalaman membaca semula Rukun Negara membuatkannya tersentuh, selain menyedari prinsip kebangsaan itu bukan sekadar rangkap kata yang pernah dihafal rakyat ketika di bangku sekolah.
Katanya, sebaliknya Rukun Negara adalah ‘kebijaksanaan negara’ yang lahir daripada pengalaman pahit susulan tragedi 13 Mei, bagi mengelakkan konflik kaum, perpecahan masyarakat dan politik ekstrem berulang.
“Dahulu ramai antara kita menghafal Rukun Negara, namun hari ini apabila saya berdiri semula di sini dan benar-benar memahami sejarah serta semangat di sebaliknya, barulah saya menyedari bahawa apa yang ditinggalkan oleh para pengasas negara bukan sekadar beberapa rangkap kata,” katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin menggesa Liu yang juga bekas exco Selangor dan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara.
Ini supaya kedua-duanya menjadi rakyat yang tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Titah itu menyusul ketika kontroversi berhubung reaksi Wong dan Liu terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.
Wong daripada DAP menerima kecaman selepas mencadangkan penternakan babi di Selangor dijalankan secara moden menggunakan sistem tertutup.
Sementara itu, Liu pula menggesa penternak babi yang tidak berpuas hati mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung perkara tersebut.