
“Tuanku Sultan Selangor mengemukakan pandangan kerana apa yang berlaku sekarang terlalu banyak keterlanjuran, menjejaskan kesihatan awam dan kurang pengawalannya,” katanya pada sidang media di Sidang Kemuncak Asean ke-48.
Anwar berkata antara kebimbangan utama yang dibangkitkan ialah kewujudan ladang penternakan berhampiran kawasan kampung dan perumahan, termasuk di Klang.
Beliau secara prinsip tidak bersetuju penternakan babi dibangunkan tanpa kawalan termasuk terlalu hampir dengan kawasan penduduk.
“Bukan sahaja penduduk Muslim, penduduk Cina pun tidak mahu duduk di kawasan tersebut,” katanya.
Anwar berkata penternakan perlu menggunakan teknologi moden dan jaminan tiada pencemaran.
“Kalau ada syarikat yang boleh memenuhi syarat-syarat yang ketat itu, tentunya bagi pihak kerajaan sukar untuk mengatakan tidak boleh.
“Ini sebabnya, sementara waktu noktahlah dulu,” katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin kekal dengan pendirian tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah, menurut kenyataan oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Munir Bani.