HSA terbakar kerana kapasitor lampu, kata menteri

HSA terbakar kerana kapasitor lampu, kata menteri

Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata laporan penuh kebakaran hospital itu menyatakan satu daripada punca kebakaran adalah disebabkan kapasitor di dalam lampu yang terbakar.

Dr-S-Subramaniam
SEGAMAT:
Kebakaran pada kapasitor di dalam lampu dikenal pasti sebagai satu daripada punca insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, hujung Oktober lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima laporan penuh berhubung kebakaran HSA yang menyatakan satu daripada punca kebakaran adalah disebabkan kapasitor di dalam lampu yang terbakar.

“Di samping itu, mungkin juga ada bahan senang terbakar yang menyebabkan api merebak dengan cepat,” katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian selepas menyerahkan bekalan peralatan kepada 46 penerima program 1Azam kendalian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Parlimen Segamat, di sini hari ini, yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji semua laporan oleh pihak bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Suruhanjaya Tenaga bagi menilai semula proses tertentu yang terdapat pada kementerian dan pihak yang diberi tanggungjawab untuk menjaga hospital awam seluruh negara.

Dr Subramaniam berkata selain membuat kajian mengenai laporan kebakaran HSA, suruhanjaya siasatan tersebut akan memberi pandangan daripada segi penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap sistem sedia ada.

“Bangunan HSA ketika ini sedang dalam proses pembaikan dan ia dijangka dibuka semula dalam masa 6 bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata kajian untuk mengatasi masalah kesesakan pesakit yang menerima rawatan di HSA akan turut dilakukan bagi menjamin keselesaan pesakit pada masa akan datang.

Pada 28 Oktober lepas, kebakaran di HSA dikatakan berlaku dari sebuah bilik rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.

Kejadian kira-kira 9 pagi itu mengakibatkan 6 pesakit maut, 3 kakitangan hospital cedera manakala seorang pesakit berjaya diselamatkan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.