Hanya 4 jualan mega tahun depan

Hanya 4 jualan mega tahun depan

KPDNKK berkata kerajaan menetapkan jualan awal tahun dari 1 hingga 30 Mac, karnival jualan mega 15 Jun hingga 31 Ogos dan akhir tahun dari 1 November hingga 31 Disember tahun depan.

Mohd-Roslan-Mahayudin
KUALA LUMPUR:
Mulai 1 Januari tahun depan, peniaga hanya boleh mengadakan jualan murah sebanyak 4 kali dalam setahun, mengikut 3 tarikh yang diwartakan kerajaan dan satu kali mengikut pilihan peniaga, berbanding 5 kali sebelum ini.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Roslan Mahayuddin berkata kerajaan menetapkan jualan awal tahun dari 1 hingga 30 Mac, karnival jualan mega 1Malaysia dari 15 Jun hingga 31 Ogos dan jualan akhir tahun 1Malaysia dari 1 November hingga 31 Disember tahun depan.

“Pindaan di bawah Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 ini merupakan inisiatif kerajaan agar kaedah pelaksanaan jualan murah di Malaysia lebih cekap dan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemeriksaan harga barangan dan jualan murah di pasaraya AEON Cheras Selatan di sini hari ini.

Roslan berkata pindaan itu antara lain menyentuh mengenai jumlah barangan yang ditawarkan pada harga jualan murah sekurang-kurangnya 50% daripada semua jumlah barangan di premis terlibat.

“Kadar diskaun minimum pula sebanyak 10% daripada harga barangan yang dibekalkan dan penetapan harga asas sebelum diberi pengurangan berdasarkan harga terendah yang pernah ditawarkan pada 3 bulan sebelumnya,” katanya.

Mengenai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas pula, Roslan berkata KPDNKK menjalankan pemeriksaan kawalan harga ke atas 6,569 premis di seluruh negara bagi tempoh 19 hingga 22 Disember.

“Dalam tempoh tersebut, hanya 1 aduan melibatkan harga ayam dilaporkan di Selangor dan pegawai kami sedang menyiasat perkara itu,” katanya.

SKHMP dilaksanakan bermula 19 hingga 28 Disember melibatkan 6 hari sebelum perayaan, hari perayaan dan 3 hari selepas perayaan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.