
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,295 kematian akibat tidak memakai topi keledar manakala 158 lagi akibat tidak mengikat tali keledar.
Menurut kajian yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), selain golongan dewasa, antara 500 dan 1,000 orang kanak-kanak turut maut atau cedera setiap tahun kerana tidak mendapat perlindungan topi keledar ketika membonceng motosikal.
Ini berlaku akibat kecuaian ibu bapa mereka sendiri mengabaikan keselamatan anak sendiri.
Malah ibu bapa tidak menunjukkan contoh baik kepada anak apabila mereka sendiri tidak mengenakan topi keledar keselamatan ketika menunggang motosikal.
Menurut kajian yang dijalankan penyelidik UPM, sebanyak 97% kanak-kanak yang membonceng motosikal tidak mendapat perlindungan keselamatan sepenuhnya.
Daripada jumlah itu, 37% daripada mereka didapati menggunakan topi keledar dewasa yang tidak bersesuaian, 24% menggunakan topi keledar mainan dan 36% lagi tidak menggunakan sebarang topi keledar.
Kempen galak guna topi keledar
Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia UPM, Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani berkata pemerhatian pihaknya di sekitar Lembah Klang juga mendapati hanya 3% kanak-kanak atas motosikal mengenakan topi keledar keselamatan berlabel dan dengan tanda pengesahan keselamatan Sirim.
“Safe Kids Malaysia UPM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) mengambil langkah mengadakan program Inisiatif Penggunaan Topi Keledar Kanak-Kanak untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa berhubung pentingnya memastikan keselamatan anak yang dibawa menaiki motosikal,” katanya.
Dr Kulanthayan, pensyarah Fakulti Perubatan UPM, berkata demikian pada program Pencegahan Kecederaan Kepala Pengguna Motosikal di Kajang, baru-baru ini.
Seramai 40 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kajang menerima topi keledar keselamatan berlabel Sirim secara percuma melalui penajaan yang diterima daripada pertubuhan Safe Kids Worldwide USA dan Halliburton Charitable Foundation, USA.
Lapan sekolah lagi menerima topi keledar percuma melalui program tersebut dan 15 buah sekolah lagi di sekitar Selangor akan diberi pendedahan mengenai program yang sama.
Program ini dijalankan seiring dengan hasrat mencapai Matlamat Pembangunan Lestari 3.6 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mensasarkan pengurangan sebanyak 50% kematian jalan raya menjelang 2020.
Pengarah JKJR Selangor Mohammad Fakhri Mansor turut berkata, “perkara ini sangat serius. Kebanyakan penunggang motosikal yang enggan memakai topi keledar adalah di kawasan luar bandar.
Topi keledar yang digunakan sama ada dewasa atau kanak-kanak mestilah bersesuaian dan berpiawai”.
Pengalaman mangsa terselamat kerana topi keledar
Sementara itu, pemandu lori, K. Muthu, 41, berkata beliau sentiasa
memastikan anaknya memakai topi keledar keselamatan ketika dibawa menaiki motosikal kerana menyedari kesan yang boleh terjadi sekiranya berlaku kemalangan.
“Sudah 2 kali saya kemalangan ketika menunggang motosikal dan syukur saya tidak cedera parah walaupun pernah terperosok di bawah lori.
“Saya menggunakan topi keledar keselamatan pada masa itu,” katanya yang merupakan bapa kepada penerima topi keledar percuma pada program di sekolah itu.
Bapa 3 anak itu berkata, kemalangan pertama berlaku pada 1999 ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerja di KLIA dan yang ke-2 pula pada 2014 di Jalan Cheras.
“Kemalangan pada 2014 lepas pula saya terjatuh selepas dihimpit sebuah kereta namun saya hanya cedera di bahagian kaki dan menerima rawatan di klinik berhampiran,” katanya yang terlepas daripada kecederaan di kelapa kerana topi keledarnya.