Bapa didakwa pukul anak perempuan guna topi keledar

Bapa didakwa pukul anak perempuan guna topi keledar

K Regunathan mengaku tak salah cederakan anak perempuannya yang berusia 15 tahun di ruang tamu rumah pada Disember lalu.

gavel
K Regunathan didakwa di Mahkamah Majistret Jasin di Melaka atas tuduhan memukul anak perempuannya dengan topi keledar dalam kejadian di ruang tamu sebuah rumah pada 13 Dis lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jasin di Melaka atas tuduhan mencederakan anak perempuannya yang berusia 15 tahun dengan memukul mangsa dengan topi keledar, Disember lalu.

Tertuduh, K Regunathan, 46, yang bekerja sebagai pemotong sawit membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan Regunathan didakwa memukul anak perempuannya dengan topi keledar hingga cedera di ruang tamu sebuah rumah di Taman Ayer Merbau pada 2 pagi, 13 Dis lalu.

Regunathan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A yang boleh hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Yusri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mazana kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dan menetapkan 4 Feb sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.