
Bagaimanapun, Teng Chang Yeow hari ini tampil di sidang media dengan menutup mulutnya menggunakan pita pelekat.
Beliau memasuki bilik sidang media di ibu pejabat Gerakan negeri dengan memakai topeng hidung dan mulut sebelum mendedahkan mulutnya yang ditutup pita pelekat.
Teng membenarkan media mengambil gambarnya bersama beberapa pemimpin parti negeri dan memberi isyarat tidak akan bercakap, sebaliknya hanya menunjukkan satu salinan kenyataan bertulis.
Beberapa minit kemudian, beliau meninggalkan bilik sidang media dan diserbu wartawan dengan soalan bilakah beliau akan menanggalkan pita pelekat di mulutnya.
Beliau memberi isyarat kepada wartawan yang mengaju soalan dengan meletakkan jari telunjuk di pelipisnya sebelum menanggalkan pita pelekat.
“Hari ini adalah saya, esok anda semua. Keesokannya adalah rakyat biasa.”
Seorang kakitangan Gerakan Pulau Pinang kemudiannya mengeluarkan topeng hidung dan mulut berpita pelekat X kepada setiap wartawan.
Ketua menteri Pulau Pinang menyaman Teng yang mendakwa beliau menyebabkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menanggung kerugian RM220 juta dengan menolak satu perjanjian usaha sama dan menerima sebuah kontrak lain yang hanya membawa keuntungan RM140 juta kepada sayap pelaburan negeri itu.
Lim menafikan wujud perjanjian usaha sama itu dan menuntut Teng menunjukkan bukti serta memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang disiarkan media bulan lalu.
Teng dalam kenyataan bertulis hari ini berjanji akan terus “mengorek maklumat baharu mengenai Pulau Jerejak dan perjanjian tanah lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang”.
Katanya, beliau melihat tuntutan undang-undang Lim sebagai ugutan untuk menghalang beliau daripada membuat lebih banyak pendedahan mengenai Pulau Jerejak.
“Ia juga bertujuan menghantar mesej kepada orang lain, khasnya NGO daripada membangkitkan isu kepentingan awam yang mereka juga akan berdepan tindakan undang-undang sama, jika perkara dibangkitkan tidak disukai beliau.
“Saya tidak akan mendiamkan diri dengan tuntutan undang-undangnya. Saya menggesa NGO terus bersuara mengenai isu kepentingan awam dan tidak takut dengan tindakan beliau terhadap saya,” katanya.
Teng yang turut mengetuai Barisan Nasional Pulau Pinang berkata, peguamnya sudah memberi respons terhadap tuntutan Lim dan akan hadir di mahkamah.