Perlindungan, ketenangan buat wanita hamil tanpa nikah di Rumah Kita

Perlindungan, ketenangan buat wanita hamil tanpa nikah di Rumah Kita

Stigma masyarakat masih menjadi masalah yang menambahkan beban wanita mengandung tanpa suami, kata pengasas Rumah Kita, Vimmiyasmin Abd Razak.

rumah-kita-4
KUALA LUMPUR:
Khairunnisa (bukan nama sebenar), 17, kini sarat mengandung hasil perhubungannya dengan teman lelaki.

Gadis dari sebuah daerah di Selangor itu terpaksa berhenti sekolah, namun berhasrat menyambungnya dan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas semuanya selesai.

Lain pula dengan Azimah (bukan nama sebenar), gadis yang setahun lebih muda dan berasal dari Kelantan. Selepas melahirkan anaknya nanti, beliau dengan persetujuan ibu bapanya tidak akan menyambung persekolahan, sebaliknya bekerja di restoran milik keluarga.

Kedua-duanya berazam membesarkan anak mereka sendiri.

Khairunnisa dan Azimah antara 12 penghuni Rumah Kita, pusat perlindungan bagi wanita yang mengandung tanpa suami.

Sebaik sahaja masuk ke perkarangan rumah 2 tingkat itu, kelihatan pengasas Rumah Kita, Vimmiyasmin Abd Razak sibuk memeriksa dokumen kesihatan wanita di bawah jagaannya.

“Jaga diri di tempat kerja ya,” katanya yang lebih mesra disapa Kak Vimmi kepada seorang gadis yang berjalan keluar dari rumah itu.

“Dia mangsa sumbang mahram. Asnaf, keluarganya memang miskin. Jadi sementara masih berupaya, dia bekerja sebagai penjaga stor di sebuah pasar raya di sini,” katanya.

Diajar berdikari

Di sini, penghuni diajar berdikari dan saling membantu menguruskan Rumah Kita.

“Mereka bangun seawal pukul 6 pagi untuk solat Subuh dan mengaji. Sepanjang hari, mereka akan bergotong-royong memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian. Bacaan Al-Quran pula dipasang hampir setiap masa, solat pula berjemaah.”

Vimmi hanya berada di situ sehingga petang sebelum pulang ke rumah. Keadaan di pusat perlindungan dipantau dengan kamera litar tertutup.

Sepanjang tinggal di situ, penghuni hanya boleh dikunjungi keluarga terdekat. Mereka dilarang bertemu bapa anak yang dikandung.

“Mungkin ketika di rumah sendiri, mereka berbeza. Tetapi di sini berbeza. Mereka bukan datang untuk bersuka-suka. Kak Vimmi selalu pesan, kamu sudah buat kesalahan, sekarang masa untuk betulkan dan dekatkan diri dengan Tuhan,” katanya.

Pegawai jabatan agama datang secara berkala untuk memberi tazkirah, sementara sukarelawan pula berkunjung memberi kaunseling dan mengajar kaedah urutan bayi serta hubungan seks secara selamat.

Rumah Kita wujud kerana stigma masyarakat

Stigma masyarakat ialah satu-satunya masalah yang menambahkan beban wanita mengandung tanpa suami dan keluarga mereka.

“Dari segi institusi dan birokrasi, mereka tidak didiskriminasi. Mereka boleh mendaftar anak ke sekolah dan memohon bantuan zakat, misalnya.

“Gadis yang mengandung akan diusir keluarga kerana mahu menutup aib. Malah, tidak kurang pula keluarga yang diboikot masyarakat sekeliling kerana anak mereka. Jangan ingat ia berlaku dalam TV sahaja.”

Maka, Rumah Kita dan pusat seumpamanya ditubuhkan untuk memberi perlindungan kepada wanita terbabit daripada anasir yang langsung tidak membantu.

“Tentulah ibu bapa mana yang tidak marah bila anak mereka hamil tanpa nikah. Ada juga yang tidak tahan dengan jiran yang asyik mengata. Jadi, mereka datang berlindung di sini sehinggalah habis pantang,” katanya.

Namun, beliau berkata, semua penghuni berlindung di Rumah Kita atas kebenaran ibu bapa, atau jika tidak, beliau akan cuba mendapatkan izin mereka melalui pelbagai cara sehingga berjaya.

“Ada beberapa kes ibu bapa yang masih marah, Kak Vimmi sehingga perlu mengancam untuk pergi meminta tandatangan di pejabat mereka. Tentu mereka tidak ingin rakan sepejabat tahu tentang anak mereka.

“Kebenaran mereka diperlukan kerana bimbang berlaku masalah kesihatan ketika hamil, misalnya sehingga perlu pembedahan. Betapa marah pun, ibu bapa kena terima yang gadis ini tetap anak mereka,” katanya.

Melangkah ke depan

Rumah Kita baru beroperasi kira-kira setahun dan digerakkan sepasukan 12 orang. Rumah perlindungan itu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang awam, dengan kos operasi kira-kira RM5,000 sebulan.

“Tapi kami dibantu ramai sukarelawan, misalnya dari kolej perubatan. Institusi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jabatan agama juga memberikan kerjasama yang baik.

“Kami hanya mampu menempatkan 12 penghuni pada satu-satu masa, dengan senarai menunggu yang panjang. Masalah remaja hamil terlalu ramai, sehingga badan kerajaan juga tidak mampu menanganinya.”

Menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 159,725 anak tidak sah taraf didaftarkan sejak 2013.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Rumah Kita boleh berbuat demikian dengan menghubungi Vimmiyasmin Abd Razak di talian 016 341 1273 untuk keterangan lanjut.

Bermula 2017, mereka akan berusaha mendapatkan geran dan sumbangan dana daripada kerajaan atau swasta.

Rumah Kita akan melangkah ke depan, sepertimana Khairunnisa dan Azimah yang bertekad menempuhi cabaran hidup mendatang bersama anak mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.