Proses pulih bekalan air ambil masa, kata Syabas

Proses pulih bekalan air ambil masa, kata Syabas

Selepas elektrik pulih, loji perlu merawat dan menyalurkan air ke kolam takungan sebelum bekalan pulih sepenuhnya, kata Syabas

Amin-Lin-Abdullah
KUALA LUMPUR:
Walaupun proses senggaraan TNB hanya mengambil masa 16 jam, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tetap memerlukan masa bagi melaksanakan proses memulihkan bekalan air seperti sedia kala.

Ketua Komunikasi Korporat Syabas Amin Lin Abdullah berkata, masa diperlukan bagi proses merawat dan menyalurkan air ke kolam takungan di seluruh negeri.

“Bekalan air bukan seperti elektrik yang pulih sebaik sahaja ada bekalan elektrik. Sebaik elektrik pulih kembali, loji rawatan air perlu merawat air dan menyalurkannya ke kolam takungan air di 800 kawasan yang sebahagiannya ratusan kilometer daripada loji.

“Maka ia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Memetik laporan Astro Awani semalam, Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Roslan Ab Rahman meminta orang ramai supaya merujuk kepada Syabas berhubung masa 4 hari yang diperlukan bagi memulihkan bekalan air.

Syabas dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerja penyelenggaraan TNB di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Kuala Selangor yang menjadi punca operasi rawatan air dihentikan, siap mengikut jadual tengah malam tadi.

Kenyataan itu juga berkata loji rawatan air Sungai Selangor fasa 1, 2 dan 3 kini beroperasi semula sepenuhnya dan pemulihan bekalan air secara berjadual akan dilaksanakan di semua kawasan terjejas di zon 1 (Gombak, Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Selangor).

Kerja penyelenggaraan yang dikatakan sudah banyak kali ditangguhkan ini menimbulkan kemarahan orang ramai, berikutan hampir dengan sambutan Krismas 25 Disember ini.

Ekoran itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam mengeluarkan larangan kerja penyenggaran yang boleh mengakibatkan gangguan berskala besar seminggu sebelum dan selepas perayaan pada masa akan datang.

Kerja selenggara TNB selesai, bekalan air zon 1 pulih

Pengerusi SPAN larang senggaraan 7 hari sebelum perayaan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.