Bersih mahu SPR beri butiran 500,000 pengundi baharu

Bersih mahu SPR beri butiran 500,000 pengundi baharu

Maria Chin juga mahu SPR menjelaskan bagaimana pengundi baharu memberi kesan kepada proses persempadanan semula.

Maria-Chin
PETALING JAYA: Bersih 2.0 mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi butiran 500,000 pengundi berdaftar baharu kerana bimbang mereka adalah pengundi hantu, kata Maria Chin Abdullah.

Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata, ia tidak menjadi masalah jika terdapat 500,000 pengundi baharu, tetapi SPR perlu memberikan butiran mereka.

Awal bulan ini, Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming menyuarakan kebimbangan berhubung Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2016 yang menunjukkan terdapat 501,799 pengundi baharu antara Julai dan September lalu.

Katanya, ia adalah 5 kali ganda berbanding jumlah biasa pengundi baharu untuk setiap suku.

Maria juga mahu SPR menjelaskan bagaimana pengundi baharu itu akan memberi kesan kepada proses persempadanan semula dan lebih penting ialah daftar pemilih sedia ada tidak lengkap.

“Ada beribu pengundi dalam daftar pemilih itu yang alamatnya tidak lengkap. Keutamaan perlu diberikan untuk memastikan maklumat itu lengkap.”

Beliau juga mahu SPR mendedahkan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai penolong pegawai pendaftaran.

“Kami tak nampak orang berjalan di sekitar bandar mendaftar pengundi. Jadi, siapa yang buat kerja ini dan di mana ia dilakukan. Perlu ada ketelusan.”

Katanya, semua NGO perlu dibenarkan mendaftar pengundi dan Bersih 2.0 juga mahu membantu SPR melakukan pendaftaran pengundi.

Ong berkata, ada pihak meragui 11,959 penolong pegawai pendaftaran datang daripada sektor awam dan mereka digunakan untuk mendaftar pengundi terpilih, khasnya di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) marginal.

Sebanyak 98.3% penolong pegawai pendaftaran terdiri daripada penjawat awam, manakala selebihnya datang daripada parti politik, universiti dan NGO.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.