Pemilik restoran kongsi rezeki beri ibu mengandung makanan percuma

Pemilik restoran kongsi rezeki beri ibu mengandung makanan percuma

Tawaran makanan percuma selama sebulan untuk ibu mengandung itu akan berakhir 31 Disember ini.

anz-2
KUALA LUMPUR:
Seorang pemilik restoran berkongsi rezeki mendapat anak selepas penantian 7 tahun dengan memberi makanan percuma selama sebulan kepada ibu mengandung, khasnya golongan berpendapatan rendah.

Pemilik Restoran ANZ di Persiaran Capsquare, dekat Jalan Dang Wangi, Asseek Ali Mohamed Iqbal, 36, berkongsi pengalaman beliau dan isteri menempuh dugaan dalam perkahwinan apabila sukar mendapat anak.

“Selama 7 tahun saya tidak mempunyai anak sehingga ke Tanah Suci berniat jika Allah memberikan rezeki anak, saya akan cuba berkongsi rezeki yang saya dapat dengan memberi bantuan kepada golongan ibu mengandung.

“Tujuan ini hanyalah untuk berkongsi rezeki. Sebelum ini, saya juga ada mengadakan pelbagai program berbentuk masyarakat seperti memberi makanan murah sempena hari Kemerdekaan, iaitu roti canai dan teh tarik RM1 selama 2 hari,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, bukan semua orang bergaji besar, apatah lagi sesetengah ibu mengandung akan mengidam.

“Jika kita lihat makanan paling murah di negara kita sekitar RM5 hingga RM8. Ada juga tidak mampu. Kadangkala saya lihat ada ibu mengandung hanya membeli buah potong RM1 di hadapan restoran saya ini untuk makan tengah hari.

“Dengan adanya makanan percuma di restoran saya, mereka berpeluang menikmati apa sahaja makanan secara percuma setiap Isnin hingga Sabtu, 7.30 pagi hingga 8 malam selama sebulan dan Ahad pada jam 7.30 pagi hingga 4 petang sejak 1 Disember lalu,” katanya sambil menambah Restoran ANZ dibuka 3 tahun lalu.

Beliau berkata, sambutan pelanggan amat menggalakkan dengan lebih 200 ibu mengandung mengunjungi restorannya sejak awal bulan ini.

“Semua makanan disediakan termasuklah makanan barat seperti chicken chop, burger dan spageti.

“Jadi, saya fikir sebagai seorang pengusaha makanan, saya tidak terlalu memikirkan keuntungan. Keuntungan itu datang apabila kita saling membantu dan berkongsi rezeki.”

Beliau yang berasal dari Sabak Bernam tidak menyangka program makanan percuma itu menjadi sebutan ramai selepas pelanggannya berkongsi pengalaman di Facebook mereka.

Pelanggan, Nur Alfira Abu Hassan, 29, pada mulanya tidak percaya dengan tawaran makanan percuma itu.

“Saya mendapat tahu dari laman Facebook ‘Info Ibu Hamil’. Ramai yang sudah kongsi di Facebook yang tengah viral sekarang ini. Jadi, apabila saya datang sini, memang betul.

“Yang bagusnya, di sini makan tiada had. Sampai kita orang nak makan berapa banyak pun tak apa,” katanya yang datang dari Setapak.

Shazrin Zulkifli, 31, memuji sifat murah hati pemilik restoran itu.

“Bagus, semoga murah rezeki. Saya dan keluarga memesan banyak makanan seperti chicken chop, kentang goreng dan lain lagi. Yang pasti kita akan datang lagi.

“Sesiapa belum datang boleh cuba. Lokasi senang dijumpai, pekerja mesra dan paling penting untuk ibu mengandung,” kata bakal ibu dari Ampang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.