
Penasihatnya, Shamsubahrin Ismail mendakwa syarikatnya tertipu dalam urus niaga pembelian 3 teksi oleh syarikat koperasi pada 2012.
“Kami membeli 3 teksi daripada syarikat itu dan membayar pinjaman sejak 4 tahun lalu.
“Tetapi bila kami tanya syarikat itu untuk mendapatkan perjanjian jual sewa beli, kami diberitahu ia akan diberi tidak lama lagi.
“Kami sudah menghantar banyak surat kepada syarikat berkenaan tetapi masih belum menerima sebarang dokumen,” katanya kepada FMT.
Shamsubahrin berkata beliau rasa ada yang tidak kena apabila syarikat itu datang bertemunya bulan lalu untuk meminta pihaknya mengambil alih perniagaan mereka.
“Syarikat itu memberitahu mereka akan menutup perniagaan dan tidak ada duit untuk teruskan perniagaan.
“Bila saya tanya lebih lanjut tentang bayaran pinjaman 3 teksi itu, syarikat terbabit berkata mereka tidak membayarnya kepada SKM,” katanya.
Shamsubahrin berkata syarikat itu diberikan pinjaman untuk membeli teksi daripada SKM dan kemudian mereka beli teksi dan jual semula kepada pengusaha teksi seperti kami.
“Syarikat itu juga perlu membayar balik pinjaman kepada SKM.
“Kami mahu perkara perjanjian sewa beli ini diselesaikan kerana tidak mahu syarikat itu ditutup dan kemudian kenderaan kami ditarik oleh SKM kerana tuntutan pemilikan teksi itu dengan SKM,” katanya.
Shamsubahrin berkata mereka sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu dan menghantar surat guaman kepada syarikat berkenaan dan satu lagi surat kepada SKM meminta penjelasan status teksi berkenaan.