Syarikat teksi disiasat selepas nahas kereta api di Indonesia ragut 15 nyawa

Syarikat teksi disiasat selepas nahas kereta api di Indonesia ragut 15 nyawa

Menurut laporan media sebuah teksi berhenti di atau dekat lintasan kereta api menyebabkan sebuah tren komuter terpaksa berhenti sebelum dilanggar sebuah tren jarak jauh di landasan sama.

Indonesia train crash
Pasukan penyelamat mengeluarkan penumpang terperangkap dari gerabak kereta api yang merempuh sebuah tren komuter di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat. (Gambar AFP)
JAKARTA:
Kementerian Pengangkutan Indonesia memanggil sebuah syarikat teksi untuk disoal siasat selepas laporan sebuah teksi terbabit urutan kejadian membawa kepada pelanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, yang meragut 15 nyawa.

Ketua Pengarah Pengangkutan Darat, Aan Suhanan, berkata pihak pengurusan syarikat teksi e-panggilan, Green SM Indonesia dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Kami menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat lebih lanjut pembabitan teksi Green SM, termasuk aspek pelesenan, kelengkapan pentadbiran, piawaian keselamatan dan pematuhan terhadap peraturan operasi pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Agensi Berita Antara melaporkan pelanggaran itu berpunca daripada sebuah teksi berhenti di atau berhampiran lintasan kereta api, mengganggu pergerakan tren sebelum insiden berlaku pada Isnin malam.

Menurut laporan itu, sebuah tren komuter terpaksa berhenti sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah tren jarak jauh di landasan sama.

Sebelum ini, Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta, Desiana Kartika Bahari, berkata 85 mangsa terselamat, termasuk mereka yang sedang menerima rawatan dan dibenarkan pulang dengan kecederaan ringan.

Aan berkata, teksi terbabit didaftarkan secara sah dan mempunyai permit operasi sah sehingga Oktober ini, namun pihak berkuasa akan menjalankan audit lanjut terhadap sistem pengurusan keselamatan syarikat itu.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Badan Nasional Mencari dan Menyelamat, Mohammad Syafii, berkata operasi menyelamat dan pemindahan selesai dalam tempoh kurang 12 jam yang berakhir 8 pagi Selasa.

Katanya, prosedur ketat akan terus dilaksanakan semasa proses pembersihan sisa pelanggaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.