Saya mahu satukan dunia guna humor gaya Malaysia, kata Harith Iskander

Saya mahu satukan dunia guna humor gaya Malaysia, kata Harith Iskander

Raja komedi itu berkata beliau gembira dapat mengibarkan bendera Malaysia di pentas antarabangsa, dan kini tiba masanya untuk meletakkan komedi Malaysia di peta dunia.

Harith-Iskander
KUALA LUMPUR:
“Bila saya memulakan kerjaya 26 tahun lalu, matlamat saya untuk menyatukan rakyat Malaysia menerusi komedi dan hari ini, saya dapat menyatukan dunia dengan humor gaya Malaysia,” kata Harith Iskander, yang baru saja terpilih sebagai orang paling lucu di dunia.

Harith, 50, yang muncul sebagai juara pertandingan “Laugh Factory’s Funniest Person in the World” (LFFPITW) di Helsinki, Finland, semalam berkata beliau cukup teruja dan seronok meraih kejuaraan itu.

Raja komedi itu berkata beliau gembira dapat mengibarkan bendera Malaysia di pentas antarabangsa, dan menambah, kini tiba masanya untuk beliau meletakkan komedi Malaysia di peta dunia.

“Saya amat bersyukur mempunyai peminat di serata Malaysia dan Asia Tenggara dan juga tempat lain seperti United Kingdom, Denmark dan Australia yang menyokong saya. Segalanya tidak mungkin tanpa peminat saya.

“Akhbar juga memberikan saya sokongan penuh, jadi ini amat bernilai. Telefon bimbit saya tidak berhenti berdering menerima ucapan tahniah,” katanya.

Dengan gelak ketawa, Harith mengatasi 4 pesaing lain – Alex Calleja (Filipina) naib-johan, diikuti Katerina Vrana (Greece), Mino Van Nassau (India) dan David Kilimnick (Israel).

Harith membawa pulang AS$100,000 (lebih RM400,000) dan lawatan dengan berkomedi di Amerika Syarikat, sementara Calleja meraih AS$10,000 dan Vrana US$5,000.

Pelawak popular tanah air itu, yang juga seorang aktor dan hos televisyen, menyatakan setinggi terima kasihnya kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kerana membantu beliau untuk perjalanan ke negara Nordik itu.

“Mereka (kementerian) membiayai penerbangan dan penginapan saya, satu sokongan besar.
“Dengan bangga saya pakai kemeja Pelancongan Malaysia di pentas sebagai menunjukkan terima kasih saya,” katanya berseloroh.

Pertandingan LFFPITW mengandungi 3 pusingan – pada Pusingan Pertama 89 pelawak dari 56 negara di seluruh dunia bertarung untuk merebut 20 tempat teratas di Pusingan Kedua (Separuh Akhir) sebelum 5 pemenang bertuah bertarung di Pusingan Ketiga (Peringkat Akhir).

Seorang lagi pelawak dari Malaysia, Dr Jason Leong turut bertanding, namun tersingkir pada Pusingan Pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.