Aktiviti perlombongan lama punca tanah runtuh di Serendah

Aktiviti perlombongan lama punca tanah runtuh di Serendah

Pegawai daerah Hulu Selangor berkata, kerja-kerja membaik pulih dijangka selesai minggu depan dan laluan sementara yang sudah siap boleh digunakan penduduk untuk kegiatan harian.

tanah-runtuh.
HULU SELANGOR: Aktiviti perlombongan yang dijalankan lebih 20 tahun lepas merupakan faktor berlaku aliran air bawah tanah yang menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, baru-baru ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim bagaimanapun berkata, aliran air itu berjaya disalur menggunakan kaedah ‘piling’ dan ‘roofpile’ oleh jurutera.

Beliau berkata, kerja-kerja membaik pulih dijangka selesai minggu depan dan laluan sementara yang sudah siap boleh digunakan penduduk untuk kegiatan harian.

“Semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai 5 petang ini selepas mendapat kebenaran Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengesahkan kawasan mereka selamat diduduki,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.

Mengenai kewujudan aliran air yang dikatakan berpunca daripada projek dijalankan di kawasan perumahan bersebelahan Taman Idaman, Mohd Fauzi menafikannya.

Sementara itu, seorang guru agama, Azizah Ahmad, 74, bersyukur dengan pengumuman itu yang membolehkan beliau dan suaminya, Hashim Wahab, 77, pulang semula ke rumah mereka selepas lebih 2 minggu tinggal di penempatan sementara.

Katanya, beliau seronok dapat bertemu kenalan lama yang turut berada di penempatan sementara itu.

Seorang pesara, Fuat Muhammad, 59, berharap kejadian seperti itu menjadi iktibarsemua pihak dan tidak mengambil sikap sambil lewa berhubung struktur tanah yang dijadikan kawasan tempat tinggal.

“Diharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan kerana ia akan menimbulkan banyak masalah kepada semua pihak,” katanya.

Tanah runtuh: Bomba isytihar Taman Idaman Serendah zon merah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.