
Harith, 50, akan berdepan saingan daripada 4 peserta lain iaitu Katerina Vrana (Greece), Mino Van Nassau (India), David Kilimnick (Israel) dan Alex Calleja (Filipina).
Selepas menduduki tangga teratas daripada 20 peserta di peringkat separuh akhir, Harith yang juga pelakon dan pengacara televisyen, yakin beliau mampu memberikan yang terbaik, sekali gus memenangi gelaran itu.
“Saya yakin mampu memberikan yang terbaik di peringkat akhir… saya juga sudah mengenali pelawak lain dan mereka juga hebat-hebat belaka.
“Kami sudah menjadi kawan tetapi pada hari pertandingan, kami akan bersaing untuk mendapatkan gelaran itu… jadi saya sudah bersedia menghadapinya,” katanya kepada Bernama.
Pengacara program “Obviously Harith Iskander” di saluran Astro Awani, menggambarkan pembabitannya dengan LFFPITW sebagai peluang menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai pelawak yang mampu membuat persembahan di pentas antarabangsa.
Harith, yang aktif menjadi pelawak solo sejak 26 tahun lepas, berkata peluang berlawak di atas pentas membolehkan penonton mengetahui serba sedikit mengenai Malaysia.
Mengenai siapa yang bakal menjadi pesaingnya di final, Harith menganggap cabaran utama datang daripada dirinya sendiri tetapi apa yang lebih penting adalah untuk kekal lucu dan menghiburkan, sama ada dalam talian mahupun di pentas.
“Apa yang dilakukan pelawak lain di atas pentas tidak memberi kesan kepada saya… saya hanya fokus menyediakan persembahan saya, memastikan jalan cerita yang betul dan lawak yang mampu memikat penonton antarabangsa.
“Ketika ini saya tidak boleh mendedahkan apa yang mahu dilakukan. Tapi, percayalah saya akan melakukan sebaik-baiknya,” katanya.
Walaupun pertandingan akhir itu akan disiarkan langsung secara “streaming” pada 2 pagi waktu Malaysia Jumaat ini, Harith meminta rakyat Malaysia menonton dan mengundinya, selain berkongsi laman web undian yang akan diumumkan kemudian.
“Rakyat Malaysia yang bangun awal pagi Jumaat juga masih boleh menonton dan terus mengundi.
“Undian akan dijalankan 24 jam sehingga lewat malam itu dan keputusan akan diumumkan pada Jumaat malam (pagi Sabtu waktu Malaysia),” katanya.
Dianjurkan kelab komedi Amerika Syarikat, Laugh Factory, pertandingan itu membabitkan 3 pusingan dengan Pusingan Satu melibatkan 89 pelawak dari 56 negara bersaing bagi merebut 20 tempat ke Pusingan Dua (separuh akhir).
Lima peserta terbaik kemudian akan bertanding di Pusingan Tiga (akhir).
Menurut laman web penganjur, juara akan menerima US$100,000 (RM435,000) serta melakukan jelajah komedi di Amerika Syarikat.
Seorang lagi pelawak Malaysia, Dr Jason Leong turut mengambil bahagian dalam pertandingan itu tetapi gagal melepasi Pusingan Satu.
Pertandingan akhir itu boleh diikuti menerusi Facebook Laugh Factory dan Laugh Factory YouTube.