Akta sumbangan politik akan jejaskan persatuan sivil

Akta sumbangan politik akan jejaskan persatuan sivil

Pengarah Lawyers for Liberty berkata Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik akan menyukarkan persatuan sivil menjalankan kerja mereka

eric-1
PETALING JAYA:
Peguam Eric Paulsen bimbang Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) sekiranya dikuatkuasakan akan digunakan untuk mengenakan kawalan ketat ke atas persatuan sivil.

Paulsen, yang juga pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, mendakwa akta itu menyukarkan persatuan sivil yang menangani isu “panas” seperti pilihan raya bebas dan adil, kematian dalam tahanan, dan kebebasan untuk media, untuk menjana dana dalam negara.

“Sekiranya draf PDEA diluluskan, kami jangka ia akan menyusahkan badan-badan bukan kerajaan yang bergantung kepada pembiaya,” katanya.

Beliau percaya menerima dana bukan suatu kesalahan kerana yang lebih penting bagaimana ia digunakan.

“Tentu sekali menerima dana untuk aktiviti pengganas suatu kesalahan tetapi itu cerita lain. Tetapi adakah wang untuk membiaya usaha kepada pilihan raya bebas dan adil, kebebasan media, kebertanggungjawaban polis itu suatu kesalahan?”

Paulsen menuduh penguasa cenderung menyalahguna undang-undang, maka beliau khuatir PDEA juga akan mengalami nasib yang sama apabila ia dikuatkuasakan.

“Kita boleh nampak bagaimana undang-undang digunakan dan kamu sendiri tidak yakin ia akan digunakan secara adil dan telus.”

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapan penggulungan semalam menggesa Putrajaya supaya percepatkan PDEA bagi membendung campurtangan asing dalam politik negara.

Paulsen bagaimanapun bingung mengapa Umno bimbang dengan dana asing.

“Umno sendiri akui terima berbilion daripada pembiaya Arab misteri dan menurut mereka juga ia digunakan untuk banyak perkara termasuk pilihan raya.”

Sementara itu, Naib Pengerusi Bersih 2.0 (Pantai Barat) Jay Jay Dennis menuduh Putrajaya gagal memimpin melalui teladan.

“Mereka beroperasi dalam cara ‘ikut kata saya’ bukannya ‘ikut cara saya’.”

Katanya kebanyakan persatuan sivil bergantung kepada dana daripada pertubuhan luar negara untuk beroperasi dan sekiranya Kerajaan Persekutuan sudi membantu, PDEA tidak perlu dilaksanakan.

“Itu cara yang sewajarnya dan jika itu tidak berlaku maknanya Putrajaya mahu ucapkan selamat tinggal pada kumpulan media dan NGO.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.