Indira bidas alasan KPN gagal kesan bekas suami

Indira bidas alasan KPN gagal kesan bekas suami

Indira menegaskan hanya sekali waran tangkap terhadap Riduan pernah diiklankan oleh NGO dengan ganjaran RM5,000.

igp-indhira
PETALING JAYA: Bekas isteri Muhammad Riduan Abdullah mempersoalkan alasan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang gagal mengesan lelaki itu disebabkan publisiti melampau terhadap waran tangkapnya.

M Indira Gandhi menafikan waran tangkap dikeluarkan terhadap Riduan mendapat publisiti meluas kecuali hanya sekali sahaja yang dilakukan badan bukan kerajaan (NGO).

“Publisiti macam mana yang diterima bekas suami saya? Setakat ini, tidak banyak pun publisiti dibuat.

“Saya tidak faham. Hanya ada satu iklan sahaja yang menyatakan kalau beliau ditangkap akan diberikan ganjaran RM5,000,” katanya kepada FMT.

Khalid hari ini menyatakan Riduan boleh ditangkap dengan mudah jika tidak banyak publisiti mengenai waran tangkapannya dibuat.

Malah, Khalid turut berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk menangkap Riduan memandangkan perintah tahanan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Kata Indira, sejak 2010 hingga tahun ini, tidak pernah sekalipun Riduan hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan. Oleh itu, soal publisiti tidak seharusnya timbul.

“Macam mana polis boleh menemui orang lain yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, tetapi bila melibatkan Riduan, susah pula.

“Saya rasa polis mempunyai pelbagai cara untuk mencarinya. Nak dengan tak nak sahaja,” katanya.

Indira turut mengkritik sikap Riduan yang tidak berani tampil ke mahkamah memberikan keterangan dan membuktikan beliau tidak bersalah.

“Berikan kenyataan di mahkamah itu sahaja. Mahkamah juga berikan masa untuk dia datang, bagi membuktikan dia tidak bersalah. Apa yang dia takut sangat untuk keluar jika mahu buktikan diri tidak bersalah?” katanya.

Pada Rabu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu hakim Mahkamah Persekutuan yang Riduan masih di negara ini apabila disoal mengapa beliau tidak hadir dengan anaknya, Prasana Diksa, kini berusia 8 tahun.

Panel 5 hakim yang dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, mendengar rayuan Indira untuk membatalkan sijil penukaran agama 3 anaknya pada 2009.

Riduan, yang memeluk Islam, meninggalkan Indira dan kemudian menukar agama anak kepada Islam tanpa pengetahuan beliau.

Riduan juga mengambil Prasana Diksa, semasa itu berusia 11 bulan. Dua anak yang lain, Tevi Darsiny, 19, dan Karan Dinish, 18, berada di bawah jagaan Indira.
Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan Indira hak penjagaan penuh anak dan mengarahkan Riduan menggembalikan Prasana kepada ibunya.

Mahkamah Tinggi juga membatalkan sijil penukaran kanak-kanak pada 2013.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengubah penghakiman mahkamah perbicaraan.

Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan kes itu yang kini ditunggu orang ramai bagi mendapatkan pendapatnya berhubung penukaran unilateral.

Terlalu banyak publisiti, punca gagal kesan bapa mualaf, kata KPN

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.