4 lelaki didakwa perdagang 14 tukang urut

4 lelaki didakwa perdagang 14 tukang urut

Mereka didakwa di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 34 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun

court
PETALING JAYA:
Dua pekerja lelaki sebuah pusat refleksologi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 6 pertuduhan memperdagangkan 6 wanita warga Vietnam untuk eksploitasi seksual, bulan lepas.

Aung Nu, pemegang kad UNHCR warga Myanmar dan Sin Beng Khoon, 28, warga tempatan, didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia antara 18 dan 36 tahun di Treez Reflexology, No 5-1, Jalan PJS 8/18, Sunway Mentari, pada 10 malam 4 November lalu.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan 2 penjamin dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, 2 lelaki penjaga kaunter sebuah pusat urut mengaku tidak bersalah atas 8 pertuduhan memperdagangkan 7 wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia atas tujuan sama.

Yek Nai Siang, 33 dan Chong Jyh Haur, 39, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berumur antara 21 dan 29 tahun di Pusat Urut Mentari Zone Aromatheraphy & Foot Reflexology di No 22A, Jalan PJS 8/2, Dataran Mentari, di sini, pada 9 malam, 26 November lepas.

Mahkamah membenarkan jaminan yang sama iaitu sebanyak RM20,000 bagi setiap seorang dengan 2 penjamin dan menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.