
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Bekas Ladang Sungai Belata, G. Vijayakumar berkata, pihaknya menunggu sejak sekian lama pembinaan 64 rumah kos rendah yang sepatutnya dibuat di Kerling, Hulu Selangor.
“Bapa saya pun sudah meninggal dunia. Begitu juga kebanyakan mereka. Syarikat L&G patut boleh buat 64 buah rumah.
“Tapi kenapa mereka tak mahu bina? Kami bukan orang kaya. Kami orang miskin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 2002, Syarikat Lembah Beringin Sdn Bhd menjanjikan membina 64 rumah kos rendah kepada 64 bekas pekerja Ladang Sungai Belata, Hulu Selangor dan kesemua menandatangani perjanjian terbabit.
Bagaimanapun, syarikat terbabit bankrap pada 2006.
Vijayakumar berkata, mereka juga membuat pembayaran pendahuluan sebanyak 10% kepada pemaju terbabit di samping pinjaman bank.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bekas Ladang Sungai Belata, T. Muniandy turut melahirkan kekesalan dengan sikap syarikat yang berdolak-dalik.
“Sepatutnya mereka membina rumah yang dijanjikan tetapi tidak lama kemudian, mereka mengubah rancangan untuk memberi tanah.
“Kami tak mahu tanah. (Tanah) itu jauh dari tempat sepatutnya. Kami minta bina rumah di tempat asal,” tegasnya.

Pemaju tiada kuasa, minta bersabar
Pengurus Projek Khas L&G, Abdul Hamid Md Yusof menjelaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa dan tidak boleh buat apa-apa terhadap Syarikat Lembah Beringin Sdn Bhd kerana syarikat terbabit gulung tikar pada 2006.
“Perjanjian itu antara pembeli dan pemaju. Pemaju itu dah gulung tikar nak buat macam mana?” katanya.
Bagaimanapun, pihaknya kini sedang merancang memberi 64 lot tanah kepada bekas pekerja terbabit.
“Kita memang dalam proses memberi 64 lot tanah dengan mendapatkan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.
“Saya harap mereka dapat bersabar. Walaupun kehadiran mereka pada pagi ini mungkin dari jauh, (kita) tak boleh buat apa,” katanya.