
Dalam satu temu bual dengan FMT, Pengarah Eksekutif NCBM Moses Choo berkata amat mengecewakan bila bank tempatan bertegas meminta orang buta membawa pembantu yang celik untuk menandatangani sebarang dokumen.
Beliau berkata tindakan itu tidak adil kerana golong buta sepatutnya diberikan hak privasi terhadap kewangan mereka.
“Di luar negara, bank guna dokumen Braille atau ada perkakasan khusus untuk membaca dengan kuat dokumen itu kepada orang buta atau pegawai bank akan membacakannya,” katanya.
Sehubungan itu, katanya tidak ada alasan kenapa bank tempatan tidak boleh mengambil langkah sama.
Beliau berkata mesin ATM di Malaysia juga tidak ada bantuan audio.
“Di negara jiran Singapura, ada lebih 100 ATM dengan audio, jadi orang buta boleh menggunakannya,” katanya.
Katanya, di sini orang buta perlu bergantung pada orang yang normal untuk menggunakan mesin ATM.
Bulan lalu, Sin Chew Daily melaporkan seorang lelaki buta berusia 48 tahun hilang semua simpanannya selepas meminta seorang lelaki yang tidak dikenali membantunya mengeluarkan wang di mesin ATM.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Yu hilang RM1,050 selepas diperdaya lelaki tidak dikenalinya itu.