Jufazli bertanding PRU14, desak perubahan Sabah

Jufazli bertanding PRU14, desak perubahan Sabah

Aktivis itu berkata beliau pada masa ini tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan akan bersuara menerusi organisasi diasaskannya, Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah.

Jufazli-Shi-Ahmad
PETALING JAYA:
Aktivis muda Sabah Jufazli Shi Ahmad mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tetapi tidak akan menyertai mana-mana parti politik pada masa ini.

Dalam temu bual bersama FMT, Jufazli, 26, berkata beliau akan terus mendesak untuk perubahan di Sabah menerusi organisasi Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah (GAMSS).

“Saya terima tawaran daripada beberapa parti politik, tetapi pada masa ini saya tidak mahu menyertai mana-mana parti. Saya akan terus bercakap menerusi GAMMS,” katanya.

Jufazli berkata ramai yang memintanya bertanding dalam PRU14.

Katanya, beliau akan bertanding atas tiket parti yang dapat memberikan rakyat Sabah paling terbaik dan komited untuk membanteras rasuah di negeri itu.

Jufazli, yang mempunyai hampir 40,000 pengikut di Facebook berkata GAMMS menggariskan 5 perjuangan penting.

Katanya, pertama ialah mengakhiri dakwaan rasuah di Sabah oleh Umno dan BN.

GAMSS juga katanya, mendesak untuk ketua menteri baharu dan perdana menteri baharu untuk membangunkan Sabah.

Bekas pelajar sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata amat penting untuk menewaskan dan menggantikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Sabah.

Beliau berkata tindakan itu sangat penting supaya kerajaan persekutuan boleh mendengar permintaan Sabah, bukan sekadar menjadi deposit tetap kepada BN.

“Kami juga mahu memastikan kedaulatan Sabah dalam persekutuan,” katanya, menambah ini bermakna berakhirnya tuntutan Filipina terhadap negeri itu.

Satu lagi perjuangan ialah pembangunan Sabah, dengan Jufazli berkata kerajaan negeri gagal membangunkan Sabah dengan sempurna.

“Kami juga mahu mengukuhkan sistem dua parti di Sabah untuk memastikan pentadbiran semak dan imbang yang lebih baik.

“Mesej saya kepada rakyat Sabah ialah jadi berani dan terus mendesak untuk perubahan. Matlamat jangka pendek kami ialah menggantikan ketua menteri dan perdana menteri menerusi cara demokratik,” katanya.

Jufazli berkata wawasan jangka panjangnya ialah untuk perkembangan Sabah, melaksanakan perubahan institusi dan mengembalikan hak Sabah seperti tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Awal bulan ini, Jufazli ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, susulan mengkritik kerajaan Sabah dan ketua menteri Sabah di Facebook.

Beliau masih belum didakwa di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.