
Bercakap pada satu sidang yang dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Woon King Chai berkata, perbincangan serius mengenai cukai tersebut tidak patut dielakkan hanya kerana Pakatan Harapan (PH) berjanji memansuhkannya pada PRU14.
“Saya tidak percaya PH jangka untuk menang pada masa itu, tetapi apabila mereka menang, mereka sedar mereka perlu mansuhkannya (untuk tunai janji).
“Saya bercakap berdasarkan pengalaman, memandangkan saya pernah berkhidmat dalam pentadbiran PH yang pertama.
“Terdapat banyak kekeliruan dan kegelisahan mengenai hala tuju, dan pada masa sama, menunaikan janji pilihan raya ini,” kata Woon, yang merupakan setiausaha akhbar kepada bekas menteri hal ehwal ekonomi Azmin Ali.
Beliau menyarankan agar lebih banyak perbincangan diadakan mengenai kebolehlaksanaan GST, menambah bahawa ia kekal sebagai mod percukaian berasaskan penggunaan yang paling telus dan adil.
Menurut Woon, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas pada masa ini bukanlah pendekatan terbaik, memandangkan ia membebankan pengguna secara tidak langsung.
“Walaupun KK Mart mungkin tidak mengenakan SST ke atas setin kacang panggang, kos bekalan kacang panggang meningkat sekurang-kurangnya 9%, mengikut anggaran kami,” katanya menambah, e-invois di bawah infrastruktur SST untuk perniagaan tidak dilaksanakan dengan konsisten.
Beliau tidak bersetuju dengan dakwaan kerajaan bahawa tahap pendapatan negara terlalu rendah untuk melaksanakan GST.
“Jika hujahnya ialah tahap pendapatan Malaysia belum cukup tinggi untuk melaksanakan GST, pertimbangkan bahawa lebih 170 negara di seluruh dunia telahpun melaksanakannya.
“Jadi mengapa kita masih perlu mengelak perbualan ini?”
Pada Oktober lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia belum bersedia melaksanakan GST disebabkan ketirisan yang masih berlaku dan gaji rendah di negara ini.