Umno-PAS tak pernah bincang kerjasama politik, kata TPM

Umno-PAS tak pernah bincang kerjasama politik, kata TPM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya kedua-dua parti itu hanya berbincang tentang isu yang menyentuh aspek kepentingan ummah.

Zahid-hamidii_pas_umno_600
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno dan PAS tidak pernah berbincang mengenai kerjasama politik atau “tahaluf siyasi”.

Sebaliknya kedua-dua parti itu hanya berbincang tentang isu yang menyentuh aspek kepentingan ummah.

Zahid selaku naib presiden Umno yang kini menjalankan tugas timbalan presiden parti berkata perbincangan itu lebih tertumpu kepada mencari titik persamaan termasuk dalam soal undang-undang yang melibatkan umat Islam.

“Tentang soal orang Islam, tentang isu tidak terselesai yang harus didukung bersama dan saya fikir ini satu pendekatan yang baik oleh kepimpinan utama PAS (untuk berbincang),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual program Ruang Bicara Khas sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 yang akan disiarkan malam esok (26 November) menerusi saluran televisyen Bernama News Channel (BNC).

Timbalan perdana menteri berkata kepimpinan Islam dalam parti politik serta organisasi lain juga perlu bersama-sama memainkan peranan dengan mengetepikan perbezaan pendapat atau pegangan politik demi mencapai titik persamaan.

“Saya fikir kematangan politik dilihat bukan hanya soal tahaluf siyasi, tetapi tentang soal keikhlasan kita menangani isu kepentingan sejagat dan kepentingan ummah keseluruhan berbanding kepentingan peribadi kita atau kepentingan sempit sesebuah organisasi itu,” katanya.

Zahid berkata proses konsultasi sering kali menjadi amalan beliau dengan melibatkan pelbagai pihak, sama ada kawan ataupun lawan, dalam menentukan kaedah terbaik bagi merungkai setiap permasalahan yang timbul.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan parti itu mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa saja atau mana-mana parti politik termasuk Umno.

Hadi berkata kerjasama dengan Umno lebih tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar Islam demi kepentingan umat Islam di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.