Selangor kutuk suami isteri ‘buli’ pegawai MBSA

Selangor kutuk suami isteri ‘buli’ pegawai MBSA

Exco kerajaan negeri berkata MBSA juga sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh.

Ean-Yong-Hian-Wah
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri Selangor mengutuk tindakan sepasang suami isteri yang mengasari penguat kuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di mana video insiden itu menjadi viral di media sosial.

Awal hari ini, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 kepada pasangan terbabit.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Ean Yong Hian Wah berkata tindakan pasangan tertuduh itu memberi kesan besar kepada tugas penjawat awam dalam melakukan tugas mereka.

“Saya mengutuk perlakuan sebegini dan kerajaan akan mengambil pendirian tegas bagi menghadapkan sesiapa yang bersalah ke muka pengadilan.

“Majlis sedang menimbang untuk mengambil tindakan ke atas pelaku berkenaan berdasarkan kepada lunas undang-undang sedia ada kerana perlakuan itu mengganggu dan menghalang tugas penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majistret P Sarulatha hari menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Lor Ka Fun dan isterinya, Tan Sit Fun selepas mereka mengaku bersalah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam, Nurul Ain Isa ketika menjalankan tugasnya.

Majistret turut memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM3,000 setiap seorang atau mereka akan dipenjarakan 7 hari, jika gagal berbuat demikian.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan awam di Jalan BRP 6/12, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pada 24 November lalu.

Yong pada masa sama turut memuji tindakan pegawai wanita berkenaan kerana komited melaksanakan tanggungjawab walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Insiden ini juga sebahagian cabaran penjawat awam. Perkara ini tidak akan melemahkan komitmen dan semangat warga kerja MBSA untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaliknya menjadikan mereka lebih tabah, berdedikasi dan cekap semasa menjalankan tugasan,” katanya.

Suami isteri dipenjara 14 hari kasari penguat kuasa MBSA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.