Badan wakili pelajar Islam Malaysia di AS jawab tuduhan Mara

Badan wakili pelajar Islam Malaysia di AS jawab tuduhan Mara

Katanya, muktamar kali ini akan dihadiri pemimpin politik dan agama dari Malaysia termasuk mufti Perlis.

misg-mara
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan mewakili pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) menolak tuduhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ia sebuah persatuan haram.

Malaysian Islamic Student Group (MISG) berkata ia merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dan diiktiraf kedutaan Malaysia di AS.

Ahli Majlis Syura MISG, Muhammad Asmar berkata demikian menjawab larangan Mara ke atas pelajar Malaysia menyertai perhimpunan yang dianjurkannya termasuk muktamar MISG dan Indonesian Muslim Society in America (Imsa), kerana bimbang boleh mengancam keselamatan negara.

“Muktamar tahunan MISG-Imsa merupakan sebuah majlis ilmu dan perbincangan intelektual Islam,” Asmar memberitahu FMT.

“Muktamar ini disokong oleh kedutaan Malaysia dan agensi kerajaan termasuk pihak Mara. MISG juga merupakan pertubuhan berdaftar di AS malah pihak kedutaan dan kerajaan Malaysia turut memberikan dana sumbangan untuk kegunaan program dianjurkan MISG,” katanya.

Mara menerusi surat mengharamkan pelajar tajaannya menyertai muktamar Imsa and MISG.

Asmar berkata MISG diwujudkan sejak 40 tahun bermula 1976, dan pihaknya menjangkakan lebih 400 pelajar dan golongan profesional Malaysia yang akan hadir muktamar pada tahun ini.

“Jumlah kehadiran muktamar di Houston dijangkakan 1,500 peserta dan tahun ini speaker utama adalah Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin, malah antara nama besar yang pernah menyertai muktamar MISG ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron, pemimpin Amanah Hasanuddin Yunus, Ahli Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) Yusri Mohamad, ahli akademik Datuk Dr Osman Bakar, Duta Malaysia Datuk Awang Adek dan pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad,” kata Asma yang juga pelajar Universiti di Virginia.

Pautan:

Mara larang pelajar tajaannya sertai himpunan gerakan Islam di AS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.