Pengusaha pusat tuisyen yakin keputusan UPSR tahun depan lebih baik

Pengusaha pusat tuisyen yakin keputusan UPSR tahun depan lebih baik

Mereka mengakui antara faktor utama penurunan keputusan UPSR tahun ini kerana tiada panduan atau soalan contoh untuk dirujuk pelajar dan guru.

upsr_600
PETALING JAYA:
Sebuah pusat tuisyen Lembah Klang menyatakan penurunan ketara keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 tahun ini disebabkan Kementerian Pendidikan tidak mempunyai contoh soalan untuk menjawab peperiksaan akhir.

Pengurus Pusat Tuisyen Tutor-Tutor Cemerlang (TTC) Lim You Pian berkata, akibatnya pelajar dan guru-guru tidak dapat membuat persediaan sewajarnya.

“Saya ingat tahun depan akan jadi lebih baik. Keadaan seperti ini biasa terjadi kerana semua format peperiksaan hanya draft sahaja. Kita pun tak tahu bagaimana nak ajar tetapi apabila ada contoh tahun ini, tahun depan akan lebih baik,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Pada 17 November lalu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof mengumumkan seramai 4,896 daripada 452,721 murid mendapat keputusan cemerlang gred A bagi semua mata pelajaran dalam UPSR.

Beliau berkata, calon tahun ini merupakan kohort pertama yang menduduki peperiksaan itu di bawah format baharu UPSR sejajar pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang turut menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Jumlah pencapaian itu berbeza dengan keputusan pada 2015 iaitu seramai 38,3444 murid mendapat keputusan cemerlang semua gred A daripada 443,407 murid yang menduduki peperiksaan.

Mengulas lanjut, You Pian berkata pihaknya juga akan merombak sistem pendidikan pusat tuisyen dan menumpukan kepada KBAT pada masa hadapan.

Beliau pada masa yang sama turut ditanya adakah keputusan UPSR sebelum ini menunjukkan sistem pendidikan negara hanya memberi tumpuan kepada peperiksaan.

“Saya tidak rasa demikian. Bagaimanapun, saya bersetuju dengan KBAT kerana pelajar tak akan hafal tapi akan cuba menggunakan semua pengetahuan belajar dalam situasi kehidupan.

“Itu lebih baik kerana dahulu keputusan sangat bagus kerana mereka banyak buat soalan berdasarkan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya dan ada soalan yang sama keluar. (Itu sebab) mereka boleh dapat markah tinggi. Sekarang saya rasa ia lebih baik. Mereka akan gunakan pengetahuan dalam kehidupan,” katanya.

Format baharu UPSR, 4,896 calon dapat semua A

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.