2 lagi nelayan diculik di Sabah

2 lagi nelayan diculik di Sabah

Juragan berusia 43 tahun dan pembantunya berusia 36 tahun diculik kumpulan bersenjata kira-kira jam 7.30 malam Sabtu.

culik
LAHAD DATU:
Dua nelayan warga Indonesia diculik di perairan Merabung, dekat sini, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, juragan berusia 43 tahun dan pembantunya berusia 36 tahun itu diculik kira-kira jam 7.30 malam Sabtu.

“Kira-kira 6.30 petang, juragan dan pembantunya itu bersama 11 awak-awak memberhentikan bot mereka di kawasan itu untuk menangkap ikan dan mereka kemudian didatangi sekumpulan lelaki bersenjata yang naik ke atas bot.

“Kumpulan ini mengambil semua telefon bimbit milik kru kapal dan turut menyamun enjin bot,” katanya kepada Bernama.

Wan Abdul Bari berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu kira-kira 30 minit kemudian kerana radio bot berkenaan rosak.

“Sebelas awak-awak yang selamat mendapatkan bantuan daripada bot nelayan lain dan menghubungi pihak keselamatan menerusi radio mereka,” katanya.

Beliau berkata, kru yang selamat dan bot nelayan itu berlabuh di jeti kira-kira 3 pagi tadi.

“Siasatan masih dijalankan berhubung kejadian culik tersebut,” katanya sambil menambah kumpulan bersenjata yang mendalangi kejadian itu bergerak ke sempadan antarabangsa.

Pada 5 November lalu, 2 tekong kapal nelayan diculik di perairan Kertam, Kinabatangan, Sandakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.