Taman Kuching dikepung, Bersih cadang tindakan undang-undang

Taman Kuching dikepung, Bersih cadang tindakan undang-undang

Bersih Sarawak berkata penganjur mematuhi Akta Perhimpunan Aman dan pihak DBKU tidak membuat sebarang bantahan sebelum ini.

bersih_sarawak_k600_2
KUCHING:
Bersih 2.0 Sarawak mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kerana mengepung amfiteater, lokasi di mana kumpulan itu merancang mengadakan perhimpunan pada jam 4 petang ini.

Ketua pegawai keselamatan kumpulan itu, Simon Siah menegaskan penganjur mematuhi Akta Perhimpunan Aman, manakala DBKU tidak menghantar apa-apa bantahan kepada pihak polis.

“Tiada sebarang notis yang dihantar kepada kami yang memberitahu seluruh amfiteater akan dikepung,” katanya kepada FMT.

Pihak berkuasa meletakkan pita keselamatan merah dan putih di sekitar taman di mana amfiteater terletak.

Siah, yang juga mengetuai NGO hak tanah NGO Lawyer Kamek For Change berkata, mereka hanya mendapat tahu tidak dibenarkan menggunakan pentas kerana kerja-kerja pengubahsuaian daripada laporan media.

Sesetengah pekerja DBKU dilihat bekerja di pentas berkenaan sambil dipantau beberapa pegawai keselamatan.

Tiada penyokong Bersih hadir di taman itu.

Tiga hari lalu Bersih Sarawak berkata ia akan meneruskan rancangan untuk mengadakan perhimpunan awam di amfiteater di Jalan Budaya walaupun kerja-kerja pengubahsuaian berlangsung.

Naib Pengerusi Ann Teo berkata, kumpulan itu akan meneruskan perhimpunan aman kerana ia kehabisan semua pilihan lain.

Penganjur menjangkakan 5,000 orang menghadiri perhimpunan itu, yang diadakan serentak dengan perhimpunan di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu yang akan melibatkan aktiviti ceramah, tayangan dokumentari pendek, muzik dan bacaan puisi.

Polis Sarawak ambil tindakan jika Bersih ingkar himpunan aman

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.