
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Anis Yusal Yusoff berkata, ujian itu bertujuan mengenal pasti profil dan menentukan tahap integriti seseorang penjawat awam sebelum dilantik ke jawatan tertentu.
“Ia amat penting bagi mereka yang ditugaskan di barisan depan seperti pegawai imigresen di pintu masuk negara bagi mengelak negara mudah dibolosi penjenayah atau mereka yang tiada dokumen perjalanan,” katanya selepas menghadiri majlis penutupan Konvensyen Integriti Nasional 2016 oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, hari ini.
Katanya, pada masa ini, sekitar 6 agensi atau jabatan kerajaan sudah melaksanakan ujian itu untuk kakitangan yang hendak dilantik ke jawatan tertentu, tetapi masih banyak jabatan lain belum melaksanakannya.
Katanya, sebagai sebuah institusi yang memikul tanggungjawab menggerak aktiviti memperkasakan integriti di negara ini, IIM bersedia menawarkan kepakaran dan pengalamannya membantu kerajaan dalam konteks tersebut.
Menurutnya, IIM mempunyai sistem ujian itu yang bukan hanya memfokuskan untuk mengenal pasti profil, malah menjalankan intervensi terhadap penjawat awam yang dikenal pasti mempunyai isu berkaitan integriti.
Dalam pada itu, Ambrin berkata, agensi kerajaan perlu berusaha mengelakkan kes-kes ‘3P’, iaitu pemborosan, pembaziran dn penyelewengan dalam merancang serta melaksanakan program dan projek.
Katanya, berdasarkan audit, kes-kes 3P sering menjadi dapatan pihaknya dan ia menyebabkan ketirisan terhadap perbelanjaan kerajaan.
“Agensi kerajaan perlu berusaha keras mengelak 3P dan mengamalkan konsep nilai kepada wang dalam perbelanjaan yang boleh mengelakkan ketirisan,” katanya.
Konvensyen 2 hari itu bertemakan ‘Integriti dan Tadbir Urus: Memperkasa Imej Perkhidmatan Awam’ diadakan bagi membincangkan usaha meningkatkan imej perkhidmatan awam daripada perspektif integriti dan tadbir urus.