
“Pada masa sama, penganjur perlu menjamin keselamatan peserta,” kata bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan kepada FMT.
Beliau mengulas Seksyen 18 di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, yang bertujuan mencegah 2 perhimpunan diadakan serentak atas soal keselamatan.
Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata Seksyen 18 akta itu memerlukan polis memastikan menghalang 2 perhimpunan serentak mengambil kira soal keselamatan.
Bagaimanapun, Ragunath berkata pihak berkuasa perlu menjamin akan menjaga undang-undang dan keamanan jika 2 perhimpunan tetap diadakan nanti.
Gerakan Baju Merah diketuai Datuk Seri Jamal Yunos berjanji akan menghalang perhimpunan Bersih 5 yang bakal diadakan di tengah bandar raya Sabtu ini.
Sebelum ini, pergaduhan tercetus selepas penyokong Jamal cuba menghalang konvoi Bersih 5 di beberapa bandar.
Semalam, ketua Umno Sungai Besar itu turut memberi amaran beliau tidak dapat menjamin tindakan pengikutnya “yang lapar” Sabtu ini.
Tidak terikat kepada Akta Perhimpunan
Peguam mewakili Baju Merah bagaimanapun berbeza pandangan, dengan berkata Seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman tidak terpakai ke atas perhimpunan kedua-dua Baju Merah dan Bersih 5 disebabkan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkannya.
“Tetapi jika Bersih masih ingin turun ke Dataran Merdeka atau sekitarnya tanpa kebenaran, mengapa kami tidak boleh? Kita sama-sama ambil risiko ini,” kata Mohd Imran Tamrin kepada FMT.
Beliau berkata Seksyen 4 menunjukkan akta itu tidak terpakai kepada “protes jalanan yang melibatkan perarakan serta peserta yang membawa plakad dan sepanduk”.
Bersih 2.0 sebelum ini berkata peserta akan berkumpul di Dataran Maybank di Bangsar dan Masjid Negara, sebelum bergerak menuju Dataran Merdeka.
Seksyen 18 akta tersebut menyentuh soal perhimpunan balas, dan berbunyi: “Jika pegawai yang menjaga Daerah Polis menerima pemberitahuan bagi perhimpunan balas dan ternyata penganjuran perhimpunan balas itu akan menyebabkan pertelingkahan antara peserta-peserta perhimpunan, pegawai yang menjaga Daerah Polis hendaklah memberikan alternatif untuk perhimpunan balas dianjurkan pada masa, tarikh atau tempat yang lain”.
Soal perhimpunan serentak pula disentuh dalam Seksyen 17 yang menyatakan 2 perhimpunan boleh dijalankan serentak tetapi tertakluk kepada syarat pada Seksyen 15, antaranya berkaitan aspek cara perhimpunan, kelakuan perserta dan bantahan atau kebimbangan yang disuarakan pihak berkepentingan.
Sementara itu, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan yang juga bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 berkata berdasarkan Seksyen 18, jelas polis perlu mengarahkan penyokong Baju Merah mengadakan perhimpunan mereka di tempat atau tarikh berlainan.
“Gerakan Baju Merah jelas berkata himpunan mereka sebagai reaksi kepada Bersih, mereka kata tiada Baju Merah jika tiada Bersih,” katanya.