21 wanita Thailand tidak hilang, tetapi ditahan di Johor

21 wanita Thailand tidak hilang, tetapi ditahan di Johor

Tiga daripada warga emas itu akan dihadapkan ke mahkamah secara berperingkat mulai bulan ini, manakala selebihnya akan berdepan proses mahkamah pada Januari tahun depan.

warga
PATTANI:
Enam pegawai Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) bertemu dengan 21 wanita warga emas dari wilayah selatan Thai yang sedang ditahan di Johor Bahru.

Pertemuan yang berlaku semalam antara 6 pegawai SBPAC dengan warga emas itu disahkan Setiausaha Agensi Pembangunan Selatan Thai, Suppanat Sirinthavineti.

“Pihak SBPAC meminta Kedutaan Thailand di Malaysia mengambil tindakan segera berkenaan kes ini. Kita juga berharap dapat membawa waris warga emas itu menemui mereka jika dibenarkan pihak berkuasa Malaysia,” katanya di sini.

Tiga daripada warga emas itu, katanya, akan dihadapkan ke mahkamah secara berperingkat mulai bulan ini, manakala selebihnya akan berdepan proses mahkamah pada Januari tahun depan.

Suppanat berkata, beliau dimaklumkan 13 daripada warga emas itu menghidap pelbagai jenis penyakit dan pihaknya sedang menguruskan bekalan ubat untuk mereka.

Rombongan 6 pegawai SBPAC itu diketuai Pegawai Jabatan Hal Ehwal Luar SBPAC, Thirut Suppawibulpon.

Dalam sidang media sebelum ini, anggota keluarga warga emas itu mendakwa kumpulan wanita terbabit ditipu ejen yang membawa mereka masuk ke Malaysia dengan alasan untuk menjual keropok ikan.

Sebaliknya, mereka dipaksa meminta sedekah sebelum ditahan polis Malaysia.

Anggota keluarga itu juga mendakwa semua 21 warga emas tersebut dibawa memasuki Malaysia pada akhir September lalu dan terputus hubungan sebaik sahaja mereka menyeberangi sempadan Malaysia.

Kumpulan wanita terbabit dikatakan terpengaruh dengan janji manis ejen terbabit berkenaan akibat kesempitan hidup, susulan kejatuhan harga getah dan buah-buahan yang menjadi sumber pendapatan utama mereka selama ini.

PAUTAN:

20 wanita Thailand hilang selepas ditawarkan kerja di Johor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.