Bapa mualaf, anak gagal hadir Mahkamah Persekutuan

Bapa mualaf, anak gagal hadir Mahkamah Persekutuan

Peguam Indira Gandhi menarik balik bantahan awal kerana tidak mahu melambatkan proses rayuannya berhubung penukaran unilateral.

indra_riduan_law_6001
PUTRAJAYA: Guru tadika M Indira Gandhi hari ini menarik balik bantahan awal yang menuntut bekas suami dan anaknya hadir di mahkamah sebelum rayuan beliau berhubung penukaran unilateral didengari, selepas kedua-duanya gagal menghadirkan diri.

Sebaliknya, peguam Indira, K. Shanmuga menggesa panel 5 hakim meneruskan rayuan kerana beliau tidak mahu berlengah lagi mengenai perkara itu.

Shanmuga memberitahu panel 5 hakim yang peguam Muhammad Riduan Abdullah Hatim Musa memaklumkan yang anak guamnya dan Prasana Diksa, kini 8, tidak hadir di mahkamah pagi ini.

Beliau kemudian menarik semula bantahan kerana Riduan hanya seorang responden nominal dengan rayuan yang difailkan Indira.

“Beliau masih menghina mahkamah kerana gagal membawa kanak-kanak itu tetapi beliau adalah seorang responden nominal berbanding pihak berkuasa agama negeri Perak,” kata Shanmuga.

Peguam itu memberitahu panel beliau juga dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang polis tidak berjaya mengesan Riduan untuk melaksanakan waran tangkap.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin kemudian memutuskan Hatim boleh mengambil bahagian dalam prosiding itu.

Hatim kemudian memberitahu pemberita beliau cuba menghubungi Riduan untuk membawa Prasana ke mahkamah melalui pihak ke-3 tetapi tidak berjaya.

Indira yang kebingungan berkata beliau berharap bertemu dengan anak perempuannya yang terakhir ditemuinya semasa kecil.

“Beberapa tahun sudah berlalu tetapi dalam fikiran saya dia masih bayi,” katanya.

Tidak diketahui di mana Riduan dan Prasana hidup sekarang.

Mahkamah tertinggi semalam menunda pendengaran untuk memberi Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, bagi memberi peluang terakhir untuk membawa anak perempuan pasangan itu kepada ibu.

Riduan juga dijadual menjelaskan kepada hakim mengapa beliau menolak untuk patuh perintah Mahkamah Tinggi pada 2014 oleh Hakim Lee Swee Seng untuk menggembalikan Prasana kepada Indira.

Kemudian beliau memperoleh perintah lain daripada Lee untuk memaksa polis mengesan Riduan dan menempatkannya di bawah tahanan sehingga penghinaan itu dibersihkan.

Mahkamah Persekutuan pada April mengekalkan keputusan Lee.

Pihak polis juga tidak melaksanakan arahan itu walaupun peguam utama M Kulasegaran berkata perintah itu disampaikan kepada pihak polis di Bukit Aman pada bulan lalu.

Guru tadika, yang mencabar penukaran unilateral 3 anaknya, mahu mahkamah sivil memerintahkan sijil penukaran mereka adalah batal dan tidak sah.

Pada Disember, Mahkamah Rayuan memutuskan secara majoriti kesahihan penukaran Riduan hanya boleh ditentukan Mahkamah Syariah.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dan Badariah Sahamid berkata mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar penukaran itu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer, dalam penghakiman bertentangan berkata perkara itu semata-mata melibatkan pentadbiran dan mahkamah sivil boleh menyiasat perkara itu.

Kedua-dua kanak-kanak lain, Tevi Darsiny, 19, dan Karan Dinish, 18, berada dalam penjagaan Indira.

Pada 2009, Riduan merampas Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan, sebelum menukarkan agamanya semasa ketiadaan mereka.

Indira kemudian memenangi hak penjagaan penuh anak-anaknya di Mahkamah Tinggi pada 11 Mac, 2010.

Indira mohon panel hakim berbilang bangsa, jantina

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.