
Riduan didapati menghina mahkamah apabila gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Ipoh untuk menyerahkan anak perempuan berusia 8 tahun kepada bekas isterinya beragama Hindu, M. Indira Gandhi, 44.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata sekiranya Riduan, yang sebelum dikenali K. Pathmanathan, gagal hadir esok, maka mahkamah akan meneruskan kes rayuan Indira Gandhi terhadap kesahihan penukaran agama 3 anaknya kepada Islam secara unilateral.
Dalam prosiding hari ini, Zukkefli berkata panel 5 hakim akan membuat keputusan esok sama ada peguam Hatim Musa dibenarkan mewakili anak guamnya, Riduan dan berhujah dalam kes rayuan itu.
“Sama ada Riduan boleh datang atau tidak…kami akan tetap teruskan kes ini,” kata Zulkefli kepada Hatim.
Zulkefli, yang bersidang bersama-sama dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali, kemudian menangguhkan pendengaran kes rayuan itu sehingga esok.
Dalam prosiding itu, peguam Indira Gandhi, M. Kulasegaran, membuat bantahan awal terhadap kehadiran Hatim dengan menyatakan Riduan tidak mempunyai hak kerana masih belum bebas daripada dakwaan menghina mahkamah.
Riduan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi pada 30 Mei, 2014 untuk menyerahkan semula anak perempuannya kepada Indira Gandhi, seorang guru tadika.
Justeru, pada 29 April tahun ini, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, supaya menangkap bapa mualaf itu kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi itu.
Hatim, bagaimanapun, memberitahu mahkamah kali terakhir beliau menghubungi anak guamnya adalah selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember lepas yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan sijil penukaran agama ketiga-tiga anak Indira Gandhi.
Keputusan majoriti Mahkamah Rayuan itu memutuskan Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan mengenai kesahihan penukaran agama kanak-kanak berkenaan yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah untuk memutuskannya.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka pada April 2009 tanpa keizinan Indira Gandhi selepas beliau memeluk Islam.
Kanak-kanak tersebut ketika itu berusia 12 dan 11 tahun, dan 11 bulan.
Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut, 2 perempuan dan seorang lelaki, sekarang berusia 19, 18 dan 8 tahun.