NGO: Penjenayah seksual kanak-kanak di Malaysia mudah terlepas hukuman

NGO: Penjenayah seksual kanak-kanak di Malaysia mudah terlepas hukuman

Detektif Australia yang menyiasat kes pedofil percaya Malaysia antara pusat terbesar di Asean untuk penghantaran pornografi kanak-kanak di Internet, susulan penemuan 1,000 transmisi bahan pornografi kanak-kanak dari Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam tahun lalu.

child-abuse-psa-5-728
KUALA LUMPUR: Kebanyakan aduan penderaan seksual kanak-kanak di Malaysia tidak dibawa ke mahkamah disebabkan kelemahan dalam sistem keadilan jenayah negara, kata polis, wakil rakyat dan kumpulan kebajikan kanak-kanak.

Menurut data sulit Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diperolehi Reuters, sebanyak 12,987 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan sejak Januari 2012 hingga Julai tahun ini, namun hanya 140 daripada 2,189 kes yang dibawa ke mahkamah, disabitkan kesalahan.

Data itu bagaimanapun tidak menunjukkan berapa ramai orang yang terbabit atau apa yang berlaku dalam sesuatu kes jika tiada sabitan selepas pendakwaan difailkan.

Kumpulan hak asasi kanak-kanak sudah lama mendesak kerajaan mengumumkan maklumat pendera seksual kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya tindakan boleh diambil untuk menangani masalah itu.

Namun, alasan kerajaan ialah ia dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi dan maklumat penderaan kanak-kanak hanya diberikan atas permintaan ahli Parlimen.

“Kami tidak mahu orang salah anggap,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Ong Chin Lan.

Katanya, kerajaan tidak mahu orang ramai terlampau panik dengan kemungkinan statistik tinggi kes penderaan kanak-kanak, tetapi polis mengambil serius setiap kes penderaan seksual kanak-kanak dan “semua kes disiasat secara terperinci”.

Bagaimanapun, Ong berkata, PDRM tidak boleh memantau rangkaian sulit pedofil kerana “kami tidak mempunyai kepakaran dalam mengendalikan web gelap. Kami dimaklumkan rakan-rakan kami di luar negara.”

Madeleine Yong yang mengasaskan PS the Children, NGO terbesar di Malaysia berkaitan penderaan kanak-kanak berkata, beliau tidak nampak sebarang sabitan ke atas kes yang dikendalikan mereka sepanjang 17 tahun NGO itu beroperasi di negara ini.

“Perlu ada penambahbaikan dalam sistem keadilan jenayah, jika kita mahu menggalakkan lebih ramai membuat laporan. Jika tidak, kita akan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.”

Polis menyalahkan kelemahan undang-undang dan peraturan berkaitan bukti mahkamah yang tidak mengutamakan keterangan kanak-kanak sebagai alasan kebanyakan kes tidak dibawa ke mahkamah.

Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus melarang pornografi kanak-kanak dan memberi takrifan sempit terhadap kesalahan rogol, berbeza dengan Indonesia yang meluluskan hukuman kastrasi kimia terhadap pesalah seksual kanak-kanak, Mei lalu serta Thailand memperkenalkan undang-undang lebih ketat terhadap pornografi kanak-kanak, tahun lalu.

Rang Undang-undang Jenayah Seksual Kanak-kanak yang dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini akan memperluaskan definisi jenayah seksual yang merangkumi penderaan dalam talian, penubuhan mahkamah khas bagi menangani kes sedemikian dengan lebih cepat dan memudahkan pendakwaan terhadap penjenayah.

Snow White Smelser, pegawai program kanak-kanak di pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah, di mana ibu pejabat Asia Timurnya terletak di Bangkok berkata, pendofil berkongsi maklumat dalam talian mengenai negara yang mereka boleh beroperasi secara bebas.

Elena Martellozzo, pakar jenayah dalam penderaan seksual kanak-kanak di Internet yang berpangkalan di London berkata, Richard Huckle memilih Malaysia “kerana ia tidak berada dalam radar atau mungkin permit kerja, visa dan peluang pekerjaan lebih mudah diperolehinya”.

Aktiviti pedofil kini beralih ke dunia dalam talian di mana detektif Australia yang menyiasat kes sedemikian percaya Malaysia antara pusat terbesar di Asean untuk penghantaran pornografi kanak-kanak di Internet.

Data pasukan Argos, unit detektif Australia yang mengesan Huckle dalam web gelap pada akhir 2014, menemui 1,000 transmisi bahan pornografi kanak-kanak dari Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam tahun lalu.

Ia adalah lokasi transmisi kedua terbesar di Asean, selepas 1,800 transmisi di Bangkok yang mempunyai populasi 8.2 juta orang, 4 kali ganda lebih banyak daripada penduduk Kuala Lumpur.

Smelser berkata, Kuala Lumpur adalah lokasi “amat membimbangkan” untuk pengedaran bahan-bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Kemboja dan Thailand enggan memberi data berkaitan kepada Reuters. Seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan berkata, tindakan itu boleh “menjadikan Thailand kelihatan buruk”.

Teo gesa Azalina pastikan RUU jenayah seksual kanak-kanak menyeluruh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.